BERITA baik buat anda abang-abang otai yang sudah lama menunggu. Kawasaki sah melancarkan motosikal sport retro terbaru, Z900RS yang dibina berasaskan streetfighter sedia ada, Z900, dengan gaya retro model ikonik, Kawasaki Z1 pada Pameran Motor Tokyo (TMS) 2017.
Walaupun tampak seperti motosikal lama, jangan tidak percaya, Z900RS ini datang dengan teknologi lebih canggih berbanding Z900 yang ada sekarang!
BACA >>> Kawasaki Z900RS Bakal Debut di Tokyo Oktober Ini, Berita Baik untuk Penggemar Retro!
Menyentuh soal penampilan, tidak seperti foto intip yang kami siarkan sebelum ini, rupa Z900RS benar-benar seperti motosikal yang mungkin abang atau bapa anda pernah tunggang sekitar 30-40 tahun lalu.
Dari hadapan, Z900RS mengenakan lampu depan LED bulat tanpa deflektor angin. Jelas juga panel instrumen dua meter analog bulat untuk paparan spidometer dan takometer. Tangki bahan api 17 liter diberikan gaya 'tear-drop' untuk sentuhan old-skool, dan begitu juga frem trellis yang diubah untuk menempatkan tangki tersebut. Kini, lengkaplah gaya retro Z900RS dengan sepasang cermin sisi bulat, dan ekor yang diilhamkan daripada jentera klasik Kawasaki Z1.
REKABENTUK ILUSI RETRO
Menariknya, Kawasaki bijak bermain ilusi. Jika diteliti, kepala blok enjin Z900RS mempunyai hiasan sirip seperti enjin penyejukan udara motosikal lama. Selain itu, walaupun nampak seperti menggunakan rim aloi berbilang jejari, sebenarnya Z900RS dipasangkan rim 17-inci 20 jejari. Paip ekzos 4-1 gaya corong juga tidak terlepas pandang kerana Kawasaki memberikan sentuhan tambahan bagi menghasilkan bunyi deruman unik pada rev rendah. Satu pendekatan yang menarik sekali dilakukan pengeluar motosikal terkemuka tersebut!
ENJIN Z900 DIUBAH SUAI
Menggerakkan jentera seberat 215kg ini ialah enjin 4-silinder sebaris 948cc yang dibawa daripada Z900, tetapi khas untuk Z900RS, kuasanya telah ditala lebih rendah. Tork dikekalkan pada 98Nm pada putaran lebih awal, 6,500rpm dengan kilasan maksimum, manakala kuasa kuda direndahkan kepada 111hp (8,500rpm), berbanding 125hp (Z900).
Bagaimanapun, sebagai jentera moden-retro, yang menyasarkan golongan pembeli di kalangan mereka yang sudah berumur, penurunan kuasa itu bukan isu besar kerana ia turut membantu memudahkan aspek pengendalian supaya lebih terkawal dan selesa.
BACA >>> Kawasaki Siar Video Teaser Kedua Z900RS Menjelang Debut Tokyo 2017
Faktor keselesaan tidak pula dilupakan. Bar hendal Z900RS nampak lebih tinggi dan lebar berbanding Z900, manakala kedudukan alas pemijak direndahkan dan dianjak sedikit ke hadapan. Ini memberikan posisi tunggangan lebih menegak yang bukan saja membuatkan mesin ini lebih bergaya klasik, tetapi juga selesa ditunggang.
Menyentuh hal pengendalian, Z900RS hadir dengan ciri-ciri streetfighter terdahulu seperti suspensi depan dan belakang boleh laras, ABS dan klac bantuan gelincir (slipper-assist). Z900RS turut menawarkan ciri tambahan seperti kawalan traksi dengan dua mod tunggangan dan kaliper brek radial 4-piston yang mana tiada pada Z900!
Keseluruhannya, Kawasaki Z900RS sangat menarik, terutama buat anda yang bosan dengan gaya motosikal moden yang tajam dan agresif. Soalnya, apakah jentera retro ini bakal hadir ke pasaran Malaysia? Sama-sama kita tunggu.
Leave a Reply