MAZDA memperkenalkan model konsep VISION COUPE dengan mengajak umum mengimbau semula legasi rekabentuk masa lalu yang diserlahkan menerusi Mazda R360 (1960) dan coupe rotari, Mazda Luce (1969). Walaupun model tersebut tampil di luar kebiasaan pesaing lain pada masa itu, tetapi rekabentuk itulah yang menjadi asas kepada konsep 'Mazda Elegance' hari ini.
Mazda VISION COUPE ialah model visi rekabentuk generasi akan datang yang memaparkan maksud 'elegan baharu' dibangunkan pengeluar dari Jepun itu berasaskah sejarah rekaan masa lalu. Nama 'Coupe' itu sendiri memberi bayangan tentang asal usul 'Mazda Elegance'.
BACA >>> Kereta Sport Mazda dengan Enjin Rotari Bakal Kembali?
Menerusi model ini, Mazda menghasilkan kecantikan sebenar sebuah kereta dengan bentuk bonet melonjong ke hadapan dan garis tunggal lembut melatari seluruh badan, dibina berasaskan apa yang pernah ada pada coupe klasik. Kesan siluet jelas memberikan semangat dan roh bagi mesin berprestasi tinggi.
Rupa badan diperagakan dalam bentuk solid dengan mengetepikan segala elemen rekaan yang tidak diperlukan. Segalanya diterjemahnkan menerusi bentuk dimensi ringkas yang penuh estetika seperti kerap disebut ramai pereka hebat, 'less is more'!
DALAMAN MINIMALIS KONSEP 'MA'
Elemen minimalis turut diserlahkan pada ruang dalam VISION COUPE dengan memberikan perasaan serba redup dan menenangkan mata. Menggunakan konsep 'ma' (bermaksud 'ruang'), coupe konsep ini cuba mengetengahkan arkitektur tradisional Jepun menerusi penghasilan ruang dalaman yang dapat mengekalkan 'rasa' tentang hubungan dengan dunia luar.
Bentuk struktur seperti konsol tengah, trim pintu, dan panel instrumen ditemukan sesama sendiri tanpa perlu saling bersentuhan, sekali gus mewujudkan sensasi 'ma' dalam kereta. Malah, rekabentuk ringkas itu memberikan pemandu dan penumpang lebih perasaan selamat dan tenteram, tanpa mengabaikan ciri dan perincian kemewahan.
Tiada lagi skrin besar terpampang di tengah papan pemuka kerana Mazda kali ini membangunkan skrin khas yang cuma dipaparkan apabila diperlukan mengikut kehendak pemandu.
JINBA-ITTAI - MESIN DAN MANUSIA BERSATU
Mazda turut cuba menjalinkan ikatan antara mesin dan manusia, seperti mana manusia suatu masa lalu begitu akrab dengan kuda tunggangannya menerusi konsep dinamakan Jinba-ittai. Konsep ini juga menjadi antara nadi utama rekabentuk model-model baharu Mazda.
Menerusi VISION COUPE, model konsep ini menampilkan metod operasi baharu dengan meminimumkan jurang antara pemandu dan kereta secara intuitif. Kokpit direka simetri dengan pusat stereng di tengah dan segala lain di kiri dan kanan. Ini membuatkan pemandu merasai pengalaman memandu dalam posisi paksi pusat sepanjang masa. Pemandu juga dapat mencapai akses segera dengan sentuhan pantas pada konsol pusat, sama seperti si penunggang merentap tali kekang kudanya. Kini, manusia dan mesin, bagi Mazda, bukan lagi entiti yang terpisah.
Leave a Reply