SEJAK model RX-8 dinisankan pada 2012, ramai ternanti-nanti bilakah Mazda akan menghidupkan semula sebuah lagi kereta pengeluaran berenjin rotari? Terbaharu, menurut laporan Automotif News, enjin ikonik itu dikatakan bakal kembali selewat-lewatnya 2019!
Bos trenkuasa Mazda global, Mitsuo Hitomi berkata, enjin rotari mungkin akan dikembalikan, dan bakal tampil sebagai enjin pelanjut (extender) untuk menjana kuasa daripada enjin kenderaan elektrik (EV) bagi perjalanan jauh.
Laporan laman web itu agak rasional apabila difikirkan jika kita mengambil kira rekabentuk enjin rotari yang kompak, kurang gegaran dan mampu menghamburkan cukup output kuasa. Memang padanan yang sesuai untuk sebuah EV.
BACA >>> Kenali Jenis Enjin [SIRI 5]: Enjin Rotari - Pakej Enjin Kecil Kuasa Besar
Menurut laporan itu lagi, EV Mazda itu akan berada di pasaran pada 2019 dalam dua konfigurasi, EV penuh dan satu lagi, EV dengan enjin extender (rotari).
BUKAN IDEA BAHARU
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Mazda memperkatakan enjin rotari sebagai enjin extender. Pengeluar automotif dari Jepun itu sebelum ini pernah mendedahkan bateri Mazda2 Concept pada 2013 yang menggunakan enjin rotari 330cc sebagai generator model konsep tersebut.
Mitsuo turut memaklumkan bahawa Mazda juga ada enjin rotari lain sedang dalam pembangunan dan akan menjadi nadi utama kereta sport Mazda baharu. Namun tidak dapat dipastikan apakah tuntutan pasaran mampu merealisasikan enjin berkenaan ke pasaran massa.
BACA >>> Mazda Bakal Kembalikan Enjin Rotari Menjelang 2019
TERPULANG PASARAN
Apapun, kehadiran sport baharu Mazda berenjin rotari adalah bergantung kepada situasi perniagaan sama ada dapat dipenuhi atau tidak. Tiada kaitan dengan isu teknikal, kata Mitsuo lagi.
Apakah kami benar-benar bersedia menjual banyak model kereta sport? Di luar sana pun tidak banyak syarikat auto yang menjual aneka kereta sport."
Walaupun kemunculan kereta sport siri RX baharu masih menjadi tanda tanya, tetapi fakta terkini mengenai pembangunan enjin rotari baharu Mazda itu memang tidak boleh dinafikan. Sekurang-kurangnya berita itu melegakan banyak pihak, terutama peminat Mazda sendiri.
SUMBER: Road and Track
Leave a Reply