PEMILIK Honda Accord 2.0T (2018) mungkin fikir mereka sudah memiliki kereta seperti Civic Type-R (2017) kerana model sedan segmen-D itu berkongsi banyak komponen enjin dengan hot-hatch ikonik itu.
Di sebalik bukaan hud, Accord dan Civic Type-R , jelas kelihatan enjin empat sebaris 2.0L pengecas turbo yang kedua-duanya daripada famili Earth Dreams. Kapasiti enjin sama, tetapi tidak dari segi rupa. Enjin Civic Type-R (gambar bawah kanan) didatangkan dengan penutup merah dan kemasan gentian karbon berserta susunan abjad HONDA yang diperakkan supaya kontras. Sebuah lagi enjin - Accord 2.0T - tampil dengan plastik hitam seperti enjin biasa lain.
BACA >>> Sudah Masuk Malaysia! Honda Civic Type-R Serba Baharu Siap Sedia Terima Tempahan!
Fakta menarik lain, kedua-dua enjin itu berkongsi komponen enjin yang hampir sama sepenuhnya seperti manifold ekzos, intercooler udar ke udara, injap ekzos isian sodium, injap-ekzos variabel VTEC, pemfasaan aci sesondol ekzos dan ambilan, jaket air two-piece, wastegate elektrik turbo dan piston dengan saluran penyejukan dalaman.
Nisbah mampatan 9:8:1 juga sama antara Civic Type-R dan Accord 2.0T (enjin Accord kurang boost untuk mengelak efek ketukan ketika pembakaran petrol berlaku.)
BACA >>> Honda Accord (2018) Versi AS Dedah Harga Bermula AS$23,570 (RM99,783)
Persoalannya, bagaimanakah enjin yang mencatatkan rekod sebagai kereta pacuan roda depan (FWD) terpantas di dunia di Nurburgring boleh diperhalusi untuk sebuah sedan famili saiz pertengahan?
DIAMETER TURBO BERBEZA
Ketua jurutera trenkuasa, Terunobu Kunikane berkata, bahagian komponen major yang berbeza ialah diameter pengecas turbo yang lebih kecil pada Accord. Walaupun merendahkan tekanan puncak relatif, turbo Accord aktif lebih pantas kerana kurang inersia. Udara yang dicas juga memasuki ram turbin pada sudut lebih tajam, sekali gus meningkatkan jumlah daya pada ram dan membantu memberikan respon terotel pantas, termasuk menambahkan tork pada rev rendah.
Kerja dilakukan turbo inersia-rendah memang menakjubkan. Accord 2.0T mampu mendapatkan tork maksimum 370Nm pada 1,500rpm yang mana Type-R cuma mampu menjana 155Nm pada putaran sama. Bezanya, apabila Type-R mencapai 2,500rpm, tork maksimum mampu mencecah hingga 400Nm berikutan daya lonjakan dihasilkan pengecas turbo (antara 1,000-2,500rpm) yang lebih besar berbanding Accord.
BACA >>> #Videotomotif: Kisah Di Sebalik Ilham Pembangunan Honda Civic Type R (2017)
Selain itu, pada putaran 4,000rpm, tork Accord mula mendatar, sebaliknya enjin Type-R mampu mengekalkan momentum tork hingga 4,500rpm bersama limpahan kuasa kuda. Dalam situasi 4,000rpm ke atas, kedua-dua enjin mampu melepaskan kuasa lebih 200hp (Accord 2.0T - 208hp; Civic Type-R - 225hp), dan mencapai output kuasa maksimum pada takat 6,500rpm.
INJEKTOR ALIRAN-TINGGI
Bagaimanapun, kuasa maksimum Accord 2.0T cuma setakat 252hp, tidak sama dengan Civic Type-R yang berkuasa 306hp. Seperkara lagi, garis merah (redline) Type-R adalah pada 7,000rpm, beberapa ratus putaran lebih tinggi berbanding Accord.
Turbo bukanlah segalanya tentang Accord 2.0T dan Civic Type-R. Menurut Terunobu, Type-R memiliki injektor bahan api aliran-tinggi yang direka untuk melakukan 'semburan kuat', manakala kadar aliran injektor Accord lebih melebar. Dengan kurang oksigen dalam silinder disebabkan tekanan boost rendah, enjin Accord kurang menghirup petrol dengan mencatatkan rating lebuh raya pada 30mpg (batu per gelen) atau lebih dengan transmisi manual, berbanding Type-R, 28mpg.
Civic Type-R juga memerlukan perisian talaan agresif dan bahan api oktana tinggi sebagai kemasan akhir untuk jentera itu beraksi mantap. Honda turut menambah aci imbang pada enjin Accord 2.0T untuk mengurangkan gegaran 'second-order'.
Sekarang jelas bukan bagaimana enjin sama dengan komponen yang juga sama dapat menghasilkan input prestasi berbeza? Apabila ditanya apakah ada versi Accord Type-R, Terunobu hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.
SUMBER: Car and Driver
Leave a Reply