FIZIKAL motosikal yang berdiri dan bergerak atas dua roda memerlukan si penunggang memahirkan diri dalam menyeimbangkan badan dan berat jentera. Situasi tersebut bukanlah masalah besar bagi penunggang pengalaman yang sudah menunggang beribu-ribu kilometer perjalanan. Namun tidak bagi golongan penunggang tertentu yang melihat situasi itu sebagai satu permasalahan besar.
Jangan risau Honda memang kini sedia mengatasi masalah tersebut dengan membangunkan motosikal konsep elektrik baharu dengan teknologi 'Riding Assist-e' yang akan dipamerkan sempena Pameran Motor Tokyo 2017 ini. Teknologi baharu tersebut akan menampilkan ciri seimbang-sendiri yang direka untuk mengekalkan posisi tegak motosikal dalam kelajuan sangat rendah, dan pastinya akan memberi banyak manfaat kepada penunggang baru, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).
Berdasarkan imej diberikan, motor elektrik diletakkan di bawah pelana berbanding hab belakang dengan lengan ayun bersaiz besar. Pek bateri dan giroskopik untuk fungsi seimbang-sendiri dipusatkan di bawah dalam tiub casis
Tautan monoshock belakang diletakkan rendah, cuma di hadapan roda belakang. Brek cakera tunggal dimuatkan pada setiap roda, dan fork konvensional dipasangkan tambahan peranti segitiga pada slider, yang mungkin berfungsi sebagai mekanisme anti-junam. Fork juga dipasangkan dengan set travel atau tiub fork yang lebih pendek
Foto panel instrumen menunjukkan spidometer digital dalam kilometer per jam (kmj), dan bacaan darjah (°). Juga dipaparkan indikator sudut condong sebagai ciri automasi yang akan aktif/nyahaktif sendiri dalam kelajuan tertentu.
Mode 4 mungkin menunjukkan kondisi motor dengan banyak tetapan kuasa, atau penunggang mungkin juga boleh memilih 4 tahap 'bantuan'. Bagaimanapun, huruf W.H.O di penjuru atas kanan masih kekal misteri. Boleh jadi juga singkatan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)? 😛
Apapun, segala penjelasan di atas sekadar tekaan berasaskan foto rasmi motosikal konsep, Honda Riding Assist-e yang disiarkan kepada media. Segala perincian dan persoalan akan terjawab bulan hadapan sebaik saja berlangsung Pameran Motor Tokyo 2017.
Paling ditunggu sudah tentu trenkuasa yang bakal digunakan, termasuk rancangan Honda menggunakan platform berkenaan dalam industri permotoran sedia ada. Ini kerana kombinasi hukum fizik antara giroskopik dan girostatik dalam jentera dua roda adalah satu inovasi hebat.
Leave a Reply