SEMPENA pelancaran KTM 250 Duke & 390 Duke (2017) baru-baru ini, KTM Malaysia menjemput wakil media automotif tempatan, termasuk PanduLaju untuk sesi tunggang uji, 'KTM 250 Duke & KTM 390 Duke Media Ride' pada 27 September lalu, dengan Bukit Tinggi menjadi lokasi litar ujian tidak rasmi kami.
Sebanyak tujuh unit 250 Duke dan lapan unit 390 Duke sedia ditunggang uji wakil media. Ini bermakna setiap seorang berkesempatan menguji kedua-dua jentera tersebut. Apakah hasil yang kami dapat? Ikuti laporan di bawah ini:
BACA >>> KTM 250 Duke dan 390 Duke (2017) Kini di Malaysia - Harga Bermula RM21,730 - RM28,800
1. KTM 250 DUKE (2017)
Sesi tunggang uji dibuat Rabu lalu dan kami dijadualkan bertolak dari Hotel eCity USJ pada jam 9.30 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan sebentar berikutan hujan lebat. Sebaik saja hujan renyai, perjalanan kami dimulakan, dan saya memilih 250 Duke sebagai bahan ujian pertama bagi membiasakan diri sebelum melompat kepada 390 Duke yang lebih berkuasa.
Keadaan motosikal masih anak dara, meter perbatuan di bawah 30km, dan tayar pula masih bergetah. Tetapi itu semua bukan alasan untuk tidak terus melenjan motosikal ini.
BACA >>> KTM 390 Duke (2017) Bakal Tampilkan 7 Pembaharuan, Siap Sedia Dilancarkan!
Menyentuh bab tayar, 250 Duke ini menggunakan sepasang tayar Metzeler Sportec M5 berukuran 110/70 ZR 17 (depan) dan 150/60 ZR 17 (belakang) yang menggantikan unit Pirelli Diablo Rosso II pada model terdahulu.
Dalam kondisi jalan masih basah, kesempatan pertama menguji prestasi jentera dan tayar baru ini adalah ketika mengambil selekoh tajam di susur keluar Plaza Tol USJ ke Lebuhraya Elite arah utara. Hasilnya sangat memuaskan, tayar Metzeler ini cukup menggigit, walaupun dalam keadaan sejuk dan kelajuan tinggi.
Perjalanan ke Bukit Tinggi diteruskan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum memasuki Lebuhraya Karak. Sepanjang perjalanan, saya memanfaatkan secukupnya setiap lekuk dan selekoh di Lebuhraya Karak yang terkenal dengan kombinasi jalan lurus yang panjang dan selekoh kelajuan tinggi bagi menguji kelajuan maksimum streetfighter cilik ini.
Hasilnya? 250 Duke (2017) yang saya tunggang ini mampu dikerah hingga mencapai kelajuan lebih 150kmj. Apabila bersembang tentang hal berkenaan, ramai rakan media lain sukar percaya kerana rata-rata kalangan mereka memperoleh kelajuan maksimum sekitar 140kmj. Mungkin juga disebabkan berat penunggang (syukurlah, berat saya baru 70kg). 😛
Sejujurnya, kelajuan maksimum sekitar 140-150kmj bukanlah sesuatu yang membanggakan, lebih-lebih lagi jika mahu dibandingkan dengan jentera 250cc silinder berkembar dalam julat harga RM20,000, seperti Kawasaki Z250 dan Yamaha YZF-R25 yang mampu mencapai kelajuan lebih 160kmj.
BUKAN KELAJUAN SEMATA-MATA
Tetapi harus diingat, KTM Duke bukanlah motosikal yang dibina untuk memuaskan nafsu mereka yang mahukan kelajuan di lebuh raya semata-mata. Setiap jentera KTM direka untuk menumpukan kepada aspek pengendalian cemerlang. Jadi, tunggangan mendaki jalan berliku sepanjang Bukit Tinggi ialah pentas utama untuk 250 Duke (2017) menyerlahkan kebolehan diri.
Ditambah pula cuaca sudah mula sedikit panas, situasi itu membuka peluang kepada saya dan rakan-rakan media lain untuk mengerah jentera masing-masing pada tahap maksimum!
Memang terbukti pengendalian 250 Duke (2017) cukup sempurna. Malah, ketika menyusuri selekoh pendek, motosikal ini masih berupaya menghambat dan mengikuti abangnya, 390 Duke yang lebih berkuasa. Walaupun prestasi enjin model 2017 ini masih sama seperti dahulu, dari segi ergonomik lain pula ceritanya. Rekaan kerangka baharu lebih tegar, posisi hendal dan alas pemijak sporty serta kehadiran teknologi bantuan penunggang, termasuk tayar Metzeler yang cukup gigitan jelas memberi lebih keyakinan untuk saya menguji potensi jentera ini semaksimum mungkin.
Jika prestasi 250 Duke (2017) sudah membuatkan saya teruja walaupun tempoh ujian singkat, bagaimanakah pula 390 Duke (2017)?
2. KTM 390 DUKE (2017)
Saya menguji 390 Duke (2017) untuk perjalanan pulang. Apabila kaki melangkah pelana, mata saya terus tertarik kepada panel meter. Kualiti paparan instrumen LCD TFT berwarna sangat baik dan jelas dipandang walaupun ditunggang di bawah sinaran matahari terik.
Panel suis sebelah kiri dihiasi unit kawalan instrumen tersebut. Selain mengubah mod tunggangan (hanya untuk tetapan ABS), tiada opsyen pilihan talaan enjin. Suis sama turut boleh digunakan untuk menjawab panggilan atau memilih trek lagu.
Ya, anda memang tidak silap baca perenggan di atas. 390 Duke (2017) memang ada sokongan sambungan kepada telefon pintar menerusi aplikasi MyApp. Cuma saya tidak sempat mengujinya kerana tempoh sesi tunggang uji yang singkat. Apapun, saya sempat menguji tentang bagaimana model ini mendapat gelaran 'The Corner Rocket'!
Selain sesaran enjin dan penampilan kosmetik, tiada banyak perbezaan antara 250 Duke dan 390 Duke. Kedua-dua motosikal ini berkongsi komponen kerangka dan tayar Metzeler Sportec M5 bersaiz sama. Cuma 390 Duke lebih superior dengan kelebihan enjin 373cc yang mampu memberikan pecutan lebih padu, tetapi masih mudah dikendalikan walaupun anda dalam kategori penunggang kurang berpengalaman dengan jentera berkuasa tinggi.
'THE CORNER ROCKET'
Hal ini terbukti ketika kami berlumba balik dari Bukit Tinggi. Padanan tayar Metzeler dan brek cakera Bybre 4-pot 320mm dengan sokongan ABS Dual Channel, saya sentiasa yakin untuk membrek lebih lewat, manakala fungsi klac gelincir (slipper clutch) menjadikan pengalaman menukar gear sebelum melayan selekoh kekal lancar dan bersahaja tanpa sebarang babak sinetron mendebarkan.
Apabila terotel dibuka, daya kilas 37Nm seawal 7,000rpm cukup deras lantas membawa 390 Duke (2017) ini keluar dari selekoh. Dibantu pula prestasi pengendalian mantap, adegan peralihan ke selekoh seterusnya berlaku sekelip mata. Bak kata wakil KTM, corner sepantas roket. Serius, memang mengujakan!
Lain pula cerita apabila menempuh lebuh raya. Kelajuan maksimum yang dapat dicapai adalah sekitar 160-170kmj sahaja sebelum dikejutkan cut-off ketika meter beranjak pada 10,500rpm. Sekarang saya mula membayangkan muka kecewa bakal pemilik atau wira papan kekunci yang mengharapkan jentera ini mampu menembusi kelajuan 200kmj.
BERBALOI ATAU TIDAK?
Rekabentuk lebih agresif berserta pelbagai ciri canggih dan premium pada 250 Duke (2017) dan 390 Duke (2017) tampak seakan pakej streetfighter kategori entry level yang hampir sempurna. Namun, halangan pertama kepada mereka yang berniat memiliki salah satu jentera ini ialah harga.
Ditawarkan pada RM21,730 bagi 250 Duke (2017) dan RM28,800 bagi 390 Duke (2017), kedua-dua varian ini diletakkan sebagai pesaing kepada jentera seperti Kawasaki Z250SL dan Honda CB500F yang menawarkan nisbah harga-kuasa lebih tinggi.
Perbandingan ini mungkin kurang adil, tetapi dalam pasaran yang sangat sensitif dengan harga, angka kuasa (sebut top speed), masih akan menjadi dasar penentu yang utama. Lebih-lebih lagi jika mengambil kira ragam penunggang Malaysia dalam memilih motosikal kegemaran mereka. Rata-ratanya beranggapan aspek prestasi pengendalian dan ciri keselamatan sekadar gimik yang tidak diperlukan.
Jadi apakah daya tarik awal 250 Duke dan 390 Duke baharu ini cukup meyakinkan anda? Jika belum, terus ikuti kami untuk reviu penuh pada masa akan datang.
Leave a Reply