KAMI tahu, enjin satu silinder 373cc ini bukan saja mampu buat tulang rusuk anda sahaja bergetar.
Apa yang pasti KTM 390 Duke (2017), yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, bukan sekadar bertukar warna dan pelekat sahaja, tetapi ada banyak pembaharuan ditampilkan. Berikut ialah 7 pembaharuan 390 Duke (2017) yang boleh anda jangkakan sementara menunggu pelancaran rasmi streetfighter tersebut, petang nanti.
1. ENJIN LEBIH BERTENAGA
390 Duke (2017) masih mengekalkan konfigurasi silinder tunggal 373cc. Tetapi, penggunaan kotak angin besar dan talaan sistem ekzos memberikan angka tork lebih tinggi, pada 37Nm @ 7000rpm berbanding 35Nm @ 7,250rpm bagi model terdahulu.
2. KELEGAAN JALAN TINGGI
Pemilik sebelum ini merungut tentang kedudukan ekzos yang terletak sedikit ke bawah. Ini membuatkan 390 Duke versi terdahulu mudah bergeser dengan permukaan jalan ketika melayan selekoh. Kini, bagi model 2017, posisi ekzos diangkat lebih tinggi, sekali gus mengubah jarak kelegaan jalan sebanyak 15mm, iaitu 185mm.
3. TANGKI BAHAN API LOGAM, LEBIH BESAR
Material logam menjadikan tangki minyak 390 Duke (2017) lebih selesa dikepit, manakala kapasiti isian turut dinaik taraf daripada 11 liter kepada 13.4 liter.
4. TEKNOLOGI RIDE-BY-WIRE
Ini antara ciri yang sukar didapati pada motosikal di bawah bawah 500cc (selain Honda CBR250RR). Tiada lagi kabel terotel, sebaliknya 390 Duke (2017) menggunakan sensor kedudukan terotel dan kawalan bahan api secara elektronik untuk menjamin hantaran kuasa lebih lancar dan responsif.
5. PANEL METER CANGGIH
Panel meter 390 Duke (2017) menampilkan paparan skrin TFT yang banyak digunakan telefon pintar masa kini supaya lebih mudah dibaca. Malah, tambahan ciri sambungan ke telefon pintar turut meluaskan lagi fungsi panel meter tersebut. Faedahnya, anda kini boleh menjawab panggilan telefon dan mengawal pemain muzik. Ciri ini sangat sesuai buat mereka yang sukar berenggang dengan gajet canggih masing-masing.
6. ADA 3 MOD TUNGGANGAN
Berita baik untuk penunggang stunt atau mereka yang suka beraksi drift, 390 Duke (2017) didatangkan dalam 3 pilihan mod tunggangan - OFF (nyahaktif ABS), ROAD (akfti ABS depan dan belakang) dan SUPER MOTOR (nyahaktif ABS roda belakang).
7. REKAAN BABY SUPERDUKE
Akhir sekali, rekaan itu, yang diilhamkan daripada Superduke 1290, bakal membuatkan anda jatuh cinta pandang pertama. Atas kertas, enjin 373cc berkuasa 40hp dinilai sebagai tidak setanding jentera lain yang lebih berkuasa. Tetapi, pada masa sama memang tidak dapat dinafikan kelibat 390 Duke (2017) mampu membuatkan sesiapa saja tercabar, dan mahu mencabar.
Persoalan sekarang, dengan begitu banyak penambahbaikan, berapakah harga 390 Duke (2017)? Apakah boleh dibawa berbincang? Tunggu liputan pelancaran rasmi dan tunggang uji akan datang untuk reviu lengkap!
Leave a Reply