SISTEM Brek Anti-Kunci (ABS) kini sudah jadi ciri biasa dalam industri automotif sejak sekian lama, tetapi tidak bagi dunia dua roda. Sukar sekali kita melihat spesifikasi motosikal yang didatangkan siap dengan ABS melainkan jentera itu berenjin sesaran tinggi. Kenapa pula tidak semua saja?
Semestinya persoalan itu wajar ditanya memandangkan motosikal masa kini sudah sedia berada dalam era moden dengan banyak pengeluar sudah mula membikin motosikal elektrik. Malah, aspek keselamatan semakin menjadi ciri yang dititik beratkan dalam pembelian sesebuah produk kenderaan. Lebih menjadi tanda tanya, sesetengah motosikal berharga mahal pun masih tidak dibekalkan dengan ABS. Kenapa pula jadi begitu?
APAKAH ITU ABS?
Motosikal yang memiliki ABS mampu menghalang roda daripada terkunci ketika membrek kecemasan. Berasaskan input daripada sensor kelajuan roda, unit ABS berfungsi melaraskan tekanan bendalir brek supaya motosikal ditunggang dapat mengekalkan traksi dan mengelak perlanggaran.
Ini membantu penunggang mengekalkan kestabilan semasa membrek, memendekkan jarak berhenti, dan memberikan traksi walaupun atas permukaan geseran rendah seperti jalan basah atau kerikil. Era awal motosikal yang menggunakan ciri ABS adalah berasaskan sistem kereta. Namun, hari ini rata-rata pengeluar melakukan penyelidikan sendiri yang khas menumpukan kepada motosikal, membabitkan kajian saiz, berat dan fungsi.
BACA >>> #ApaNakBuat: 5 Tip Membrek Atas Jalan Basah Tanpa Bantuan ABS
Nampak hebat bukan? Persoalannya, jika ABS mampu membuatkan sesebuah motosikal kekal berdiri berbanding motosikal tanpa ABS, termasuk berupaya mengelak perlanggaran, sekali gus menyelamatkan nyawa, kenapa masih banyak motosikal tidak memiliki ciri berkenaan? Sebenarnya, ada banyak alasan berbeza boleh diberikan dan ada tiga sebab paling utama, iaitu saiz, tujuan motosikal dan kos/estetik. Mari kita perincikan satu persatu:
1. SAIZ
Salah satu alasan kenapa tidak semua motosikal ada ABS ialah saiz. Misalnya, Suruhanjaya Eropah (EC) meluluskan rang undang-undang 2012 yang mewajibkan semua motosikal baharu di atas 125cc, dijual bermula 1 Januari 2016, supaya dilengkapkan dengan ABS. Kenapa tidak 125cc ke bawah?
Sebabnya, motosikal di bawah 125cc ke bawah tidak memiliki berat atau kelajuan mencukupi yang membuatkan ABS wajib dipasang. Rata-rata motosikal dalam kategori tersebut adalah daripada jenis off-road, skuter, moped atau jentera lain yang tidak mahal, dan ringan. Jadi, pemasangan ABS dikhuatiri menjejaskan berat dan meningkatkan kos pembuatan motosikal itu sendiri, termasuk mengurangkan karakter dan gaya sedia ada.
2. TUJUAN
Sesebuah motosikal dihasilkan dengan tujuan tertentu dan bagaimana ia ditunggang. Tidak semua permukaan jalan sentiasa sama rata, dan dalam situasi tertentu ciri ABS lebih banyak mengacau berbanding membantu. Di luar standard EU, beberapa rantau lain membenarkan pengeluar memutuskan sendiri apakah model yang perlu dipasang ABS.
Jadi, sebagai memenuhi peraturan terbuka itu, pengeluar akan mengkaji asas tujuan pembuatan sesebuah motosikal, termasuk segmen pasaran dan harga sebelum memutuskan memasang ABS. Yamaha WR250R (gambar atas) ialah contoh jelas tentang kenapa ABS tidak dipasang disebabkan tujuan motosikal.
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Cara Betul Membrek Kereta dengan ABS?
Ini kerana motosikal sport dual itu lebih cenderung digunakan dalam situasi jalan off-road berbanding berturap. Jika ABS ada, ciri tersebut sebenarnya menghalang si penunggang beraksi ekstrem kerana mereka perlu menyeretkan tayar bagi mendapatkan geseran untuk berhenti.
3. KOS, RUPA DAN BERAT
Sebab lain ABS tidak dipasang ialah harga. Walaupun ABS tidaklah semahal ketika baru diperkenalkan dahulu, tetapi masih termasuk dalam aspek utama yang menyebabkan harga sesebuah model itu lebih mahal. Malah, pemasangan ABS juga sedikit sebanyak menambahkan berat fizikal dan menjejaskan aspek estetika sesebuah motosikal.
Hal estetika nampak macam remeh, tetapi faktanya, ramai penunggang motosikal tidak bersetuju sekiranya teknologi diperkenalkan menyebabkan pengeluar mengorbankan gaya yang diwarisi turun-temurun. Apatah lagi di Barat, terutama pemilik motosikal cruiser, adalah antara kelompok penunggang yang amat cerewet dan teliti tentang nilai dan sejarah jentera mereka. Mereka lebih rela motosikal mereka tiada ciri teknologi terkini asalkan rupa dan gaya tradisi dikekalkan.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang Perlu Anda Tahu
Harley Davidson misalnya, hanya menawarkan ABS untuk model premium sehingga beberapa tahun kebelakangan ini berikutan majoriti pembeli mengkritik penampilan buruk model jenama ikonik itu. Jadi, ABS cuma ditawarkan sebagai opsyen untuk model bukan touring.
PATUTKAN SEMUA MOTOSIKAL ADA ABS?
Soalan yang bagus ditanya. Mari kita tengok video daripada Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) di bawah:
Nampak jelas bukan tentang kepentingan ABS? Walaupun kami masih berpendapat tidak semua motosikal memerlukan ABS, tetapi pada masa sama kami menyarankan ABS dijadikan ciri utama untuk motosikal pelbagai guna, terutama yang dijadikan rutin tunggangan harian. Lebih baik sekiranya penunggang turut diberikan opsyen untuk mematikan fungsi ABS mengikut situasi pemanduan.
Apa pendapat anda? Perlu atau tidak motosikal dilengkapkan dengan ABS?
SUMBER: Ride Apart
anonymous says
kalau motosikal 150cc sekarang ni ada ABS tak? macam y15zr dan rs150
ZY says
Yamaha NVX 155 ada ABS, depan sahaja. Y15ZR n RS150 belum ada, mungkin atas faktor kos lagi mahal.
AO says
Tak ada
Sya says
Yamaha r15 ada abs tak?
Zzz says
Boleh ker motor biasa nk pasang ABS.? Berapa kos kasarnya
chin says
mt07 boleh pasang abs ke?? hagar ???