SEMUA tahu kerjasama antara Modenas dan Bajaj Auto menerusi pengenalan tiga model rebadge buatan pengeluar motosikal dari India itu. Khabarnya, sambutan produk Modenas-Bajaj itu mendapat sambutan hangat di Malaysia. Terbaru, Bajaj kini sedang merancang memperkenalkan motosikal elektrik menjelang 2020.
Sejak bertahun lalu Bajaj Auto memang sentiasa rancak merencanakan strategi perniagaan produk motosikal jenama itu. Daripada pengeluar skuter era 70 hingga 80-an, Bajaj terus komited dan fokus dalam perniagaan pengeluaran jentera dua roda pelbagai segmen.
BACA >>> Modenas Lancar 3 Model Bajaj - Harga Pula 'Tak Masuk Akal', Bermula RM5,989!
Hasilnya, sejak sedekad lalu, pengenalan produk skuter Bajaj berjaya melonjakkan jualan motosikal segmen itu di pasaran India. Bajaj juga antara pengeluar yang menawarkan motosikal berprestasi pada harga berpatutan sejak awal milenium.
'TESLA' MOTOSIKAL
Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj berkata, syarikat itu kini sedang membangunkan satu jenama baru dengan kod nama Urbanite yang menumpukan kepada pembuatan motosikal elektrik premium. Dijangka dijual menjelang 2020, jenama baru itu bakal mempegaruhi pasaran massa, sama seperti apa dilakukan Tesla menerusi produk-produk kereta elektrik di Amerika Syarikat dan Eropah. Bezanya, Bajaj menghasilkan motosikal elektrik.
“Kami tidak mahu terlibat dalam perniagaan volum dengan menghasilkan skuter 100cc lain dan bersaing dalam pasaran yang sangat luas dengan 10 jenama lain,” kata Rajiv.
Apabila Bajaj Auto merancang mahu menjadikan Urbanite seperti Tesla, apakah itu bermaksud Bajaj mahu Urbanite menjadi perintis dalam segmen motosikal elektrik? Buat masa ini, pemain pasaran kenderaan elektrik di India masih terlalu kecil. Antaranya Hero Elektric dan Okinawa Scooters.
KTM JADI SANDARAN?
Kemungkinan juga Bajaj akan mempertimbangkan jenama KTM jika mengambil kira pegangan saham 48 peratus yang dimiliki. Ini lebih mudah kerana Bajaj sudah sedia memiliki akses untuk meminjam teknologi KTM dalam membangunkan motosikal elektrik. Malah, KTM sendiri sudah ada produk motocross elektrik, Freeride E.
Baru-baru ini, Bajaj Auto turut mengumumkan kerjasama dengan pengeluar motosikal British, Triumph. Kolaborasi tersebut bakal menyaksikan pembuatan motosikal pertengahan pada harga lebih murah kelak, di mana model pengenalan dijangka dilancarkan tiga tahun lagi.
Leave a Reply