SEANTERO Malaysia kecoh dengan kehadiran telefon pintar baharu, Apple iPhone X (sebut iPhone Ten, bukan 'ex') yang khabarnya bakal dilancarkan pada 3 November ini pada harga dianggarkan bermula AS$999 (~RM4200). Wow, dua tiga kali kami telan air liur melihat anggaran harga tersebut. Terus berguguran air mata ke bumi.
Kami tahu, memang ramai sedang berkira-kira mahu mendapatkan telefon pintar paling trendy tersebut. Tetapi tidak kurang ramai juga yang menganggap tidak berbaloi melaburkan wang sebanyak itu hanya untuk sebuah peranti kecil. Ada pula yang berseloroh, beli telefon punya mahal tetapi main aplikasi yang sama juga macam Facebook, Instagram, Twitter dan Whatsapp/WeChat.
Sekarang kami akan senaraikan apakah barang yang anda boleh dapat dengan nilai RM4,200 selain iPhone X? Sebagai laman web permotoran, semestinya produk dimaksudkan itu ada kaitan dengan automotif. Tiada niat mahu mengecam, cuma mahu buat anda berfikir dua kali. Hehehe..
1. KERETA TERPAKAI
Dengan wang sebanyak RM4,200 anda sememang ada banyak pilihan kereta terpakai untuk dibeli. Berikut ialah senarai kereta yang anda boleh beli dengan wang sebanyak itu, semestinya secara tunai. Kami cuma senaraikan beberapa model yang berbaloi dibeli berdasarkan kos senggara, alat ganti dan tahan lasak.
- Kereta lokal - Proton Iswara, Wira, Saga dan Perodua Kancil, Kembara, Kancil.
- Kereta Jepun -Toyota Corolla KE70, Nissan Sunny.
- Kereta Conti/Amerika - Ford Telstar, Ford Laser, Peugeot 406, Volvo 240.
Rata-rata kereta terpakai di atas sudah berusia lebih 10-20 tahun, tetapi masih banyak yang gagah bergerak atas jalan. Perlu ambil kira kos baik pulih, dan senggara. Apa yang penting kereta tiada hutang bank setiap bulan. Jika anda masih pelajar, dan perlu pula tanggung kos senggara, minyak dan itu ini, apa kata sewakan kereta terpakai itu kepada rakan asrama atau rumah bujang. RM10-20 sejam pun ok kan?
2. RIM SUKAN
Kalau sudah ada RM4,200 dalam tangan, anda ada banyak pilihan jenis rim original berjenama dan berkualiti baik sama ada baharu atau terpakai hingga boleh rambang mata dibuatnya. Sebelum beli, jangan lupa tanya dahulu kos tepi yang mungkin tidak dikira sekali seperti penjajaran dan pengimbangan (alignment and balancing), nat, dan lain-lain. Jika beli rim Taiwan, atau lokal, anda boleh dapatkan dua atau tiga set rim (12 unit), siap tayar!
3. MOTOSIKAL BAHARU/TERPAKAI
Jika kereta, anda cuma dapat beli model terpakai, tetapi tidak motosikal kerana anda boleh beli model kapcai baharu seperti Modenas Kris MR2 yang dijual pada harga serendah RM3,890. Bukan saja jimat minyak, tetapi kos senggara pun lebih murah berbanding kereta. Jika mahu lebih banyak pilihan jenama, boleh beli saja mana-mana kapcai terpakai.
Ada yang kata, beli telefon tidak perlu isi minyak, tetapi beli motor boleh naik berdua dan pergi ke mana-mana. Kalau kawan nak pinjam, caj saja sewa RM5-10 sejam. Tidak pun, mintak dia orang isi minyak penuh. Hah, siapa cakap beli motor tidak boleh 'buat duit'?
4. BARANG HALFCUT
Banyak barang halfcut boleh dibeli, terutama jika anda gemar membikin kereta. Nilai RM4,200 misalnya membolehkan anda mendapat kotak gear, enjin atau kedua-duanya, ataupun set lengkap kit badan, alat ganti atau aksesori dalaman kereta. Peminat JDM mungkin perlu lupakan seketika membeli telefon baharu mahal.
5. CAT BARU KERETA
Kalau kereta anda sudah berusia, apa kata wang sebanyak RM4,200 itu anda belanjakan untuk cantikkan semula kereta supaya kembali berseri seperti baharu. Bukanlah suruh bikin enjin, anda cuma perlu:
- Cat warna baharu - RM3,000 (luar dalam)
- Tukar Tayar - RM800 (+-RM200/tayar)
- Tambah spoiler + skirt - RM400
JUMLAH = RM4,200
Kos berbeza ikut tahap baik pulih kereta, jenis cat, jenis kereta, jenis tayar dan bahagian aksesori/alat ganti yang mahu ditambah. Apa yang pasti, wang sebanyak itu memang boleh buatkan kereta anda kembali baharu.
6. BELI HELMET DAN SIMPAN
Ini khas untuk mereka yang bijak cari peluang buat duit. Helmet boleh dianggap sebagai emas dunia permotoran dan antara contoh aksesori motosikal paling tinggi nilai jual semula. Tidak perlu kami senaraikan apakah jenis atau jenama helmet 'harga meninggal' di luar sana kerana selagi ada pasaran, selagi itu harga helmet boleh melambung tinggi.
Helmet juga antara aksesori paling rendah risiko dan selamat disimpan untuk dijual semula kerana sampai bila-bila pun penunggang Malaysia memang wajib memakai helmet. Apa yang penting, sejauh mana anda mampu bersabar menyimpan topi keledar itu.
Tetapi dengan wang sebanyak RM4,200, anda sudah boleh membeli mana-mana helmet edisi terhad di pasaran semudah memetik jari. Mungkin sebuah helmet berharga RM4,200, ataupun 4 helmet berharga lebih kurang RM1,000 setiap satu. Asalkan edisi terhad atau ada unsur rare, anda tidak perlu tunggu lama untuk buat duit. Cukup saja tunggu setahun dan harganya sendiri mahu ingat!
Leave a Reply