BERHUBUNG spekulasi mengenai perlantikan Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Proton, DRB-HICOM dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely) masih dalam proses memuktamadkan secara terperinci.
Tambah DRB-HICOM, keutamaan kedua-dua pihak kini adalah untuk merumuskan lagi pelan perniagaan Proton menjadi lebih mantap dan berada pada kedudukan kukuh dalam industri automotif. Sebarang perkembangan terkini bakal diumumkan kelak menerusi saluran media.
Sebelum ini, laporan Berita Harian, dipetik daripada portal China Automotive Review menyatakan bekas Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekutif Dongfeng Honda Engine Company itu secara rasmi sudah menyertai Geely dan bakal berkhidmat sebagai CEO baharu Proton.
Sama seperti kami nyatakan, secara peribadi kami tiada masalah siapakah hero yang bakal memimpin Proton kembali ke landasan tepat asalkan zaman kegemilangan Proton dapat bersinar semula. Lihat saja bagaimana Geely membeli Volvo dan menaikkan semula reputasi jenama automobil dari Sweden itu di pasaran antarabangsa.
Tidak kira siapa pun mengetuai Proton, kami mahu jenama nasional kita dapat meneruskan survival dalam industri automotif tempatan dan antarabangsa, sekali gus memacu ekonomi, teknologi dan kepakaran anak watan.
BACA >>> Li Chunrong Sudah Dilantik Sebagai CEO Baharu Proton?
Leave a Reply