PELUANG memiliki motosikal baharu sememangnya impian kebanyakan penunggang. Namun, dalam kegembiraan mendapat jentera serba baharu itu, kerap pula pemilik baharu, newbie atau amatur melakukan beberapa kesilapan tipikal yang bakal mengundang kedukaan dan kecelakaan seperti berikut:.
1. Tunggang Melulu
Tabiat ini biasa dilakukan penunggang moped berkuasa tinggi atau sportbike yang baru memegang terotel. Mereka terlalu gelojoh mahu menayang kuasa motosikal sendiri tanpa memantapkan skil tunggangan terlebih dahulu (dan adab di jalan raya).
Tidak percaya? Cuba tanya rakan-rakan yang pernah berkonvoi ke 'litar tidak rasmi' Malaysia, seperti Kuala Klawang atau Bukit Tinggi. Golongan manakah yang kerap jadi punca kemalangan?
2. Salah Parkir
Digelar sebagai 'jatuh bodoh'. Situasi berlaku apabila pemilik masih tidak biasa dengan cara memarkir atau menongkat dengan sempurna yang menyebabkan motosikal mereka jatuh secara tidak munasabah.
Insiden begini mudah dielakkan jika penunggang memilih ruang parkir luas yang memudahkan pergerakan dan mengalih motosikal selain dapat memastikan tapak parkir cukup kukuh dan rata untuk menampung beban berat motosikal yang ditahan tongkat.
Satu lagi kesalahan memarkir ialah meletak motosikal di kawasan berisiko kecurian tinggi tanpa menggunakan peranti keselamatan mencukupi. Sebenarnya, berbaloi melabur untuk mendapatkan pengunci mahal, walaupun tidak 100 peratus selamat daripada kecurian, tetapi sekurang-kurangnya dapat melengahkan pencuri.
3. Tukar Warna atau Rekaan Grafik Asal
Selama mana anda mahu memiliki motosikal itu? Rata-rata pemilik akan berkira-kira menjual semula motosikal mereka selepas tiga tahun (selepas tamat tempoh bayaran pinjaman), dan menggunakan wang hasil jualan tersebut sebagai modal atau deposit untuk memiliki motosikal lain yang lebih berkuasa.
Pemilik yang menukar corak grafik/strip, atau warna asal motosikal bukan sahaja memerlukan kos tinggi, tetapi juga memberi kesan kepada nilai jual semula (resale value). Faktanya, wujud persepsi di kalangan pembeli bahawa motosikal yang ditukar warna adalah bertujuan mengaburi kesan kemalangan.
Malah, rekaan corak kesukaan anda itu mungkin tidak sama cita rasa bakal pemilik baru, sekali gus merendahkan harga jual semula motosikal tersebut berbanding warna dan grafik asal yang mungkin sudah pudar dan lusuh.
4. Jual Komponen atau Aksesori Asal
Modifikasi seperti mengubahsuai set ekzos aftermarket jenis full system atau rim sport ringan akan membuatkan anda berkira-kira mahu trade-in kepada aksesori asal, tidak kira sama ada untuk menampung kos ubah suai atau sukar membawa pulang semua barang tersebut ke rumah kerana anda pun cuma bermotosikal saja.
Sama seperti strip atau kerja badan custom tadi, alat ganti dan aksesori aftermarket akan mengundang persepsi bahawa motosikal anda kerap dilenjan. Ini menjadikan nilai jual semula merosot.
Walaupun komponen aftermarket itu boleh ditukar semula (restore), tetapi ketiadaan komponen asal pasti merumitkan proses penukaran dan boleh menelan belanja lebih besar jika mahu membeli semula.
5. Sembarangan Beri Pinjam Motosikal
Tidak semua motosikal mudah ditunggang. Jadi, jangan sembarangan beri pinjam atau beri peluang tunggang uji kepada rakan atau sesiapa sahaja yang anda rasa was-was dengan skil mereka, kecuali mereka pernah menunggang motosikal lebih kurang sama dan skil tunggangan pula meyakinkan.
Memang seronok dapat berkongsi kegembiraan memiliki motosikal baharu, tetapi semua keseronokan itu boleh hilang sekelip mata jika tersilap langkah. Silap haribulan boleh putus kawan pula. Menangis pun sudah tidak berlagu.
Leave a Reply