RAMAI tertanya kepada saya apakah faktor kejayaan utama sehingga mampu menjadikan Perodua Myvi sebagai model terlaris di Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.
Jawapan saya mudah, mereka sentiasa menitikberatkan aspek kualiti. Pada pandangan saya, ada empat sebab utama mengapa Perodua mampu kekal cemerlang sehingga ke hari ini.
1.) MAMPU MILIK
Pada pandangan saya, Perodua sentiasa memastikan harga yang ditawarkan adalah mampu milik. Sebagai contohnya, model Perodua facelift yang dilancarkan awal tahun ini. Bukan saja menerima penambahbaikan, malah Perodua tidak menaikkan harga sebaliknya berjaya mengurangkan harga selain memberikan peningkatan ciri bernilai RM4,500.
2.) BERKUALITI
Tidak dinafikan Perodua sangat menitikberatkan aspek kualiti. Tipulah kalau saya katakan kereta Perodua 100 peratus 'Perfect'. Namun, agak jarang kita dengar kenderaan Perodua sering menghadapi masalah kualiti. Kalau ada pun ia dapat diselesaikan tanpa perlu berulang kali. Kalau tak, mungkinkah Perodua Myvi berjaya merangkul sebagai model terlaris selama sembilan tahun berturut-turut? Anda nilaikan sendiri.
3.) NILAI KERETA TERPAKAI
Salah satu kejayaan Perodua adalah berkaitan dengan kadar nilai kereta terpakai yang masih tinggi. Jika anda mahu jual, ia tetap laku tidak kira transmisi manual mahupun automatik.
4.) PERKHIDMATAN SELEPAS JUALAN
Aspek ini sangat penting bagi mana-mana pengeluar kereta. Jika perkhidmatan selepas jualan teruk, kereta sebagus manapun pasti 'hancur'. Perkhidmatan selepas jualan adalah perkara paling penting bagi menunjukkan hala tuju sesebuah jenama itu.
Bagi Perodua, saya melihat ia cukup komited memastikan kenderaannya sentiasa berada dalam kondisi baik. Untuk makluman, saya memliki dua unit model Myvi. Saya akui perkhidmtan selepas jualan Perodua cukup baik dan konsisten.
Bercerita perihal Myvi facelift yang dilancarkan Januari lalu, ia ditawarkan dengan penggunaan enjin bersesaran 1.3L dan 1,5L. Bagi Myvi 1.3L, ia didapati dalam dua varian iaitu Standard G dan Premium X. Manakala Myvi 1,5 pula ditawarkan dalam varian Special Edition (SE) dan Advance.
Lebih mengagumkan, lebih daripada 800,000 unit Perodua Myvi sudah berjaya dijual sejak ia diperkenalkan pada 2005.
Berbanding versi terdahulu, Myvi facelift ini menawarkan penampilan lebih segar termasuk peningkatan ciri keselamatan yang memberi nilai tambah kepada pengguna. Dari aspek mekanikal pula, ia masih mengekalkan enjin sedia ada.
Sepanjang saya memandu uji Perodua Myvi 1.5 Advance, berikut adalah beberapa ringkasan terhadap model ini.
- Kehadiran bampar baharu tampak sporty.
- Lampu depan projektor dan lampu belakang LED.
- Hendal pintu warna krom.
- Rim baharu (Rekaan Spiral)
- Radio skrin sesentuh baharu dengan kamera undur
- Meter dengan pelbagai informasi pemanduan.
- Kerusi dibaluti kulit.
- Tempat letak cawan pada bahagian corong penghawa dingin.
- Tempat letak tisu pada tempat duduk belakang.
- Penyangkut anti-kecurian.
- Mendapat pengiktirafan 4-bintang daripada ASEAN NCAP (dicapai menerusi penambahbaikan struktur kenderaan)
- Hadir bersama ciri keselamatan standard yang dipertingkatkan (ABS, EBD, BA dan ISOFIX) bernilai RM3,800
- 4-bintang ASEAN NCAP
- Sensor keselamatan pada bahagian depan dan belakang.
- Penapis haba keselamatan.
Perodua Myvi 1.5 Advance di jual pada harga RM58,900. Dengan penambahan warna baharu iaitu biru, ia turut menawarkan jaminan selama lima tahun atau 150,000km had perbatuan (mana tiba dahulu).
Secara peribadi, Perodua Myvi boleh dianggap sebagai kereta pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang masih belum memiliki kenderaan. Biarpun terpaksa bersaing hebat dengan pesaingnya iaitu Proton Iriz, saya yakin ia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris. Namun, perlu bekerja lebih keras memandangkan ciri ditawarkan oleh pesaingnya adalah lebih baik.
Shah Perodua says
Myvi memang terbaik!