TAHUKAH anda, Sweden belum dibayar Korea Utara untuk beribu-ribu unit sedan Volvo yang diimport masuk sekitar 1970-an ke negara komunis itu. Menurut Newsweek, nilai hutang Pyongyang kini mencecah hampir €300 juta (RM1.5 bilion)!
Walaupun situasi tersebut bukanlah kejayaan perniagaan yang boleh dibanggakan, tetapi semua itu jelas menunjukkan Sweden dan Korea Utara pernah berurusniaga. Kini timbul pula persoalan, apakah Stockholm mampu menggunakan hubungan baiknya dengan Pyongyang untuk bertindak sebagai orang tengah dalam krisis nuklear antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS)?
Semua sedia maklum AS memang tiada hubungan diplomatik dengan Korea Utara hingga tiada sebuah model Ford pun di negara yang dilabelkan sebagai proksi kejahatan itu. Berbeza pula Sweden, selain mengeksport Volvo (yang belum dibayar), negara Scandinavia itu turut memainkan peranan diplomatik penting dengan Kerajaan Korea Utara, dan boleh dikatakan menjadi wakil Barat ketika rakan-rakan Barat lain sedang bermasalah.
HUBUNGAN SEJARAH
Peranan Sweden sebenarnya ada kaitan dengan hubungan sejarah yang terjalin hampir separuh abad lalu hingga berakhirnya Perang Korea, yakni legasi diplomatik yang tidak dimiliki negara-negara Barat lain.
Korea Utara dan Korea Selatan secara teknikalnya masih lagi berperang, tetapi Sweden ialah anggota kepada Suruhanjaya Pemantau Negara-Negara Neutral (NNSC), yang ditubuhkan untuk mengawasi gencatan senjata, memantau latihan ketenteraan, dan menggalakkan hubungan percaya antara kedua-dua negara Korea bersengketa itu.
EROPAH YANG NEUTRAL
Ketika Pyongyang kekal curiga dengan Barat, status neutral Sweden berperanan sebagai 'broker jujur' dari Barat. Sweden ialah negara Eropah pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara sejak 1973, dan juga negara Eropah pertama membuka kedutaan di Pyongyang sejak 1975.
Semasa era tersebut (1970-an), Sweden adalah antara negara yang sangat kritikal dengan Perang Vietnam dan menjadi pemain utama dalam gerakan tidak bersekutu. Pendirian tersebut secara tidak langsung meningkatkan kredibiliti Sweden sebagai negara bebas di pentas antarabangsa.
Malah, Sweden turut menghantar banyak bantuan kemanusiaan ke Korea Utara, menyalurkan wang menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Palang Merah dan pelbagai organisasi lain. Stockholm juga menjadi hos dan penaja dalam rundingan antara wakil AS dan Korea Utara walaupun bukan rundingan langsung membabitkan wakil dua Kerajaan berseteru.
DIPLOMASI VOLVO JADI SANDARAN
Status istimewa Stockholm, dan mungkin juga kaitan hutang Volvo yang ditanggung Pyongyang membolehkan dialog dan interaksi dilakukan dengan dunia Barat.
Menurut satu sumber diplomat Sweden, Pyongyang secara asasnya sangat tegas dan tidak boleh hanya cakap, dan sesebuah Kerajaan mengharapkan dapat apa yang diminta. Tiada tuntutan atau paksaan yang boleh dibuat ke atas Pyongyang, manakala peranan Sweden pula tidak sepenuhnya seperti konsular, tetapi lebih kepada memainkan peranan dalam menjernihkan situasi dan membetulkan salah faham yang berlaku.
Pada masa kini, Washington dan Pyongyang masih mengekalkan hubungan menerusi misi PBB, kedutaan di Beijing dan mesyuarat antara pegawai ketenteraan di Panmunjom, iaitu perkampungan yang menjadi lokasi menandatangani gencatan senjata Perang Korea pada 1953.
(Info: tiada perjanjian damai pernah ditandatangani, secara teknikal Perang Korea tidak pernah berakhir).
Mengenai Volvo yang sinonim dengan automotif Sweden, pengeluar itu sudah berurusniaga dengan negara Korea Utara sejak lebih 40 tahun lalu. Kedutaan Sweden di Pyongyang pada Oktober tahun lalu pernah memuat naik status Tweeter yang menunjukkan foto salah sebuah teksi di bandar Chongjin dengan catatan perbatuan mencecah 500,000km! Dan lebih mengejutkan, kereta itu masih berstatus hutang!
Leave a Reply