BAGI golongan millenial yang hanya mengenali motosikal kelas B2 menerusi model seperti Yamaha R25 atau Kawasaki Ninja 250R, kuasa maksimum sekitar 30hp, dengan enjin 2-silinder sebaris dan rekaan agresif sudah cukup mengagumkan, sekali gus menjadikan kedua-dua jentera itu antara pilihan utama buat mereka yang mahukan jentera sportbike tanpa perlu menaik taraf kelas lesen.
Namun, masih ada kalangan penunggang yang merasakan kuasa dihasilkan itu masih tidak cukup umph, dan irama alunan 2-silinder sebaris pula bukanlah halwa telinga sebenar. Pada masa sama, mereka masih juga berdegil mahu mengekalkan reputasi diri sebagai pemilik lesen B2.
Soalan di sini, jentera sportbike apakah yang sesuai?
Jawapannya, Kawasaki Ninja ZXR250 atau ZX-2R di pasaran lain. Bagi mengenali lebih lanjut jentera tersebut, mari kita sorot pandangan depan yang jelas kelihatan kelibat fork teleskopik terbalik memegang roda 17-inci dengan tayar lebar 110/70 bersama sepasang brek cakera 300mm 2-piston.
Paling menarik perhatian ialah penampilan dua tiub (seakan paip) kelabu yang bersambung antara visor fairing dan tangki bahan api, termasuk dua ventilator udara di fairing sisi yang berfungsi menyejukkan komponen kritikal seperti rektifier dan lain-lain. Jika mengambil kira keseriusan sistem penyejukan yang disediakan, dapatlah kita bayangkan betapa serius juga potensi kuasa yang dihasilkan.
BACA >>> Kawasaki Ninja 250 (2018) Baharu Lancar di MAEPS! Harga Anggaran RM23k!
Mesin 250cc 4-lejang itu sememangnya sebuah 'superbike mini' yang serius. Dengan konfigurasi 4-silinder sebaris yang unik dalam kelasnya selain irama ekzos merdu persis superbike idaman kalbu, kuasa dihasilkan bukan calang-calang juga - 45hp pada 15,000rpm dan boleh diligatkan lagi hingga 19,000rpm! Ya, walaupun cilik saja enjinnya, tetapi kuasa yang terhasil setanding jentera lebih besar seperti KTM RC390. Bezanya, anda tidak perlu bersusah payah masuk ujian naik pangkat lesen.
Deruan kuasa atas jalan dipacu transmisi 6-kelajuan yang dihantar kepada roda belakang 18-inci bersalut tayar 140/60. Urusan memegang segala komponen penting pula dilaksanakan frem twin-spar perimeter dan lengan ayun uni-trak daripada aluminium yang menjadikan berat kering (tanpa isian petrol) cuma 144kg, cukup ringan untuk jentera sofistikated ini!
Hampir sempurna. Namun salah satu kelemahan utama ZXR250 yang patut anda tahu ialah pengeluaran motosikal ini sudah pun dihentikan kira-kira sedekad lalu. 😛
LEGENDA GILA-GILA 90-AN
Ya, motosikal 250cc dengan spesikasi kelas superbike hebat itu boleh dianggap antara legenda era gila-gila 90-an.
Model terawal ZX-250A (1988-1991) hanya dibikin khas untuk pasaran domestik di Jepun sebelum digantikan model seterusnya, ZX-250C (1991-1998). Selepas kebah demam di Negara Matahari Terbit itu, ZXR250 dibawa masuk ke pasaran Malaysia bermula 1997 hingga ditamatkan riwayat pada 2004. Jangan tidak tahu, Malaysia adalah satu-satunya negara asing yang membawa masuk superbike mini itu secara rasmi untuk pasaran tempatan.
Sama seperti buah tangan era gila-gila 90-an lain, ZXR250 turut menjadi mangsa permintaan pasaran milenium untuk jentera dua roda efisien. Walaupun tampak mengagumkan, konfigurasi enjin 250cc dengan 4-silinder sebaris agak melampau bagi motosikal kelas permulaan sama ada dari segi praktikaliti atau ekonomi.
BACA >>> #RetroAuto: Asal Usul Hijau yang Kini Jadi Warna 'Trademark' Kawasaki
Kerenah 4-silinder sebaris yang hanya menghamburkan tenaga pada rev tinggi menjadikan jentera berkenaan kurang sesuai untuk penunggang lesen B2 yang baru hendak berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi. Malah, setiap satu silinder berukuran 62.5cc dan ditudungi 'head' DOHC 4-injap (semua 4-silinder dan 16-injap sebaris memerlukan aturan komponen kecil dan jitu) menjadikan penghasilan enjin ZXR250 sangat mencabar.
Segala cabaran tersebut memerlukan kos tinggi, tetapi jangkaan harga pasaran 250cc pula semakin murah. Ini menjadikan jentera seperti ZXR250 dilihat sebagai pelaburan kurang menguntungkan, sekali gus menjadi punca kepada penamatan pengeluaran model itu selepas 15 tahun bernyawa.
MASIH ADA PASARAN
Walaupun pengeluaran ZXR250 sudah lama dihentikan, jentera legenda itu masih mudah didapati di pasaran motosikal terpakai pada harga mampu milik, iaitu sekitar RM7,000 hingga RM11,000, bergantung kondisi.
BACA >>> #RetroAuto: Inilah Sebab Ada 'Ninja' dalam Kawasaki
Masalah popular yang menjadi kelaziman mana-mana motosikal berenjin bukan konvensional seperti ZXR250 ialah injap mudah 'putus' apabila enjin kerap diperah disebabkan saiz injap kecil, cuma sebesar jari kelingking. Ini sedikit sebanyak menimbulkan kekangan buat bakal pemilik yang bercita-cita mahu mnunggang jentera legenda tersebut.
Bagi menjawab persoalan pembaca yang mungkin masih berkira-kira mahu memiliki ZXR250, penulis berkesempatan menemu bual pemilik motosikal itu sendiri, Danish.
Ini jawapan Danish;
Pastikan guna injap (valve) original, dan jangan lenjan motor tua macam motor baru. Perlu manjakan sedikit, sesuailah dengan umur. Top speed masih ok, boleh pergi 170-180kmj. Memang boleh pergi lebih 200kmj, tapi kenalah siap sedia keluar duit kalau motor buat hal. Jaga minyak hitam dan lain-lain macam biasa, tukar spare parts berkualiti dan adjust shims (valve clearance) setiap 15,000-20,000km. Insya-Allah motor ni boleh bawa berjalan jauh lagi."
Mengakhiri perbualan ringkas itu, Danish sempat lagi berpesan kepada bakal pemilik ZXR250 yang mungkin berminat.
Kalau nak bawa masuk trek, ZXR250 elok dibuat 'main' dengan geng sendiri saja. Tak sesuai 'main' dengan motor 250cc lain. Bukan setakat cara kuasa tu disampaikan berbeza, fiil handling pun berbeza juga sebab karakteristik enjin 4-silinder sebaris memang tak sama dengan 2-silinder macam Ninja 250R yang saya pernah cuba."
Nah, kalau anda rasa prospek jentera superbike 4-lejang tanpa perlu naik taraf lesen adalah sesuatu yang anda mahukan, apa lagi perlu tunggu? Dapatkan sekarang sementara harga masih boleh dibawa bincang! 😀
Justin says
Kalau rosak barangnya senang cari ke bro...?
Zul says
Dkt BSP selangor ade kedai yg bikin moto2 ni
Lance says
Saya pernah memiliki motor ni suatu ketikà dahulu.
Saya beli secondhand je, masa mula beli tu saya buat valving dgn tepet je. Lepas tu saya try bawa kat highway,. Perghhhh memang padu pickup memang ummmphhh top speed sampai 230km/j. Motor ni memang power empat dapur kan.
Motor yg ada skrng ni dua dapur je.
Tapi saya tetap bersabar mana tau nanti keluar jenis empat dapur.
Mohd Zabri bin Abd Razak says
Saya ada memiliki motor ni,mmg power tapi sya nk order spare part, kat mna boleh sya dpt spare part motor ZX2R ni...gasket byk yg dah uzur, jdi sya mau tukar la...nk order tu kat man, boleh tolong mklum kat sya kat mna nk cari