
SYARIKAT penerbangan, AirBorneo mencatat sejarah tersendiri dalam landskap penerbangan Sarawak apabila melancarkan penerbangan pertama di bawah jenama sendiri, menandakan permulaan fasa baharu selepas pengambilalihan operasi MASwings.
Detik penting itu bukan sekadar penjenamaan semula, sebaliknya menjadi simbol aspirasi Sarawak untuk memperkukuh kesalinghubungan udara, terutama ke destinasi luar bandar yang kritikal.
Penerbangan sulung menghubungkan Kuching - Mukah dan Kuching - Tanjung Manis, iaitu dua laluan penting yang menyokong mobiliti penduduk, aktiviti ekonomi dan akses perkhidmatan asas.
Langkah itu mengukuhkan peranan AirBorneo sebagai tulang belakang pengangkutan udara wilayah Borneo.
Laluan Sulung Fokus Kesalinghubungan Luar Bandar

Penerbangan Kuching ke Mukah menggunakan pesawat ATR72-500 dan berlepas jam 8.25 pagi, manakala laluan Kuching ke Tanjung Manis menggunakan pesawat DHC6-400 Twin Otter yang berlepas jam 8.45 pagi.
Pemilihan pesawat turboprop itu mencerminkan kesesuaian operasi untuk landasan pendek dan destinasi berkeperluan khas di kawasan luar bandar.
Kedua-dua laluan itu dilihat strategik dalam menyokong agenda pembangunan seimbang negeri, membolehkan pergerakan rakyat dan barangan dilakukan lebih cekap berbanding pengangkutan darat yang memakan masa lama.
Komitmen Kerajaan Negeri

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin menyifatkan pelancaran AirBorneo di bawah jenama sendiri sebagai langkah besar dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan negeri.
Belia berkata, pelancaran itu bukan sekadar pencapaian operasi, tetapi detik transformatif bagi sektor penerbangan Sarawak.
Beliau menegaskan penubuhan AirBorneo mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan perkhidmatan udara luar bandar yang kritikal terus disediakan, selain meningkatkan kesalinghubungan antara Sarawak, Sabah dan destinasi serantau pada masa depan.
Operasi Berdisiplin, Keselamatan Jadi Keutamaan

Menurut Kim Shin, sepanjang tempoh peralihan, operasi penerbangan akan diteruskan seperti biasa dengan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan kekal menjadi keutamaan utama. Pada masa sama, AirBorneo dirangka untuk beroperasi berlandaskan disiplin komersial dan tadbir urus korporat yang baik.
Walaupun perkhidmatan udara luar bandar melibatkan kos operasi tinggi, AirBorneo akan berkembang secara berperingkat ke laluan serantau terpilih berdasarkan ketersediaan pesawat, permintaan pasaran, kemampanan laluan serta perjanjian perkhidmatan udara dua hala.
Fasa Awal, Fokus Kemampanan Jangka Panjang
Kim Shin turut menjelaskan AirBorneo masih berada pada peringkat awal susulan pengambilalihan MASwings dan penerimaan Lesen Operasi Udara (AOC). Pasukan khas dan pasukan petugas sudah ditubuhkan bagi mengkaji pengoptimuman kos jangka panjang, kecekapan penyelenggaraan dan kemampanan kewangan syarikat.
Pendekatan ini penting bagi memastikan AirBorneo bukan sahaja mampu memenuhi mandat perkhidmatan awam, malah berdaya tahan sebagai entiti penerbangan dalam persekitaran industri yang kompetitif.
Mandat Lebih daripada Komersial
Sementara itu, Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan, misi syarikat melangkaui keuntungan semata-mata. AirBorneo menggalas mandat sosial untuk memastikan komuniti luar bandar terus menikmati akses perhubungan udara yang konsisten dan boleh dipercayai.
Dengan bermula operasi di bawah identiti sendiri, AirBorneo dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi wilayah, meningkatkan aksesibiliti masyarakat pedalaman dan memperkukuh kesalinghubungan udara Sarawak dan Borneo secara keseluruhan.
Pada majlis sama, AirBorneo turut memperkenalkan pakaian seragam rasmi kru kabin yang diilhamkan daripada warisan budaya Sarawak, melambangkan identiti tempatan yang kini dibawa terbang ke ruang udara Borneo.
SUMBER: Berita Harian
Leave a Reply