LEGENDA?
Tahukah anda, Valentino Rossi memulakan karier perlumbaan dengan menunggang jentera Cagiva Mito 125?
Ya, ramai mengenali juara dunia sembilan kali itu dalam aksi MotoGP dengan Aprilia RS125 kira-kira 20 tahun lalu. Tetapi sebelum itu, Rossi terlebih dahulu mengorak langkah dalam dunia perlumbaan dua roda dengan menyertai 125cc Italian Sport Production Championship pada 1993 berbekalkan motosikal sendiri sebelum ditaja rasmi pihak Cagiva, sekali gus memudahkan perjalanan karier beliau bergelar juara pada tahun berikutnya.
BACA >>> Pelumba Muda Patut Contohi Motivasi Rossi - Bekas Pengurus
Ramai anak muda hari ini lebih mengenali jentera dua lejang menerusi kelibat Yamaha 125, Yamaha RXZ dan Kawasaki Ninja RR150 yang diagungkan sebagai motosikal terulung 'mat rempit'. Namun pada era 1990-an, dan awal milenium, semua motosikal tersebut hanya picisan jika mahu dibandingkan Cagiva Mito 125 sebagai jentera replika perlumbaan eksotik yang hanya boleh dimiliki segelintir anak muda pada zaman itu.
Siapa berani mengacah bersiap sedialah ditinggalkan bertiang-tiang jauh.
SPESIFIKASI DAN VARIASI
Cagiva Mito ialah sportbike peringkat permulaan atau entry level keluaran pengeluar motosikal Itali, Cagiva Motor S.p.A yang bersaing hebat dengan Aprilia RS125 pada era 1990-an lalu. Walaupun hanya dipacu enjin bersesaran 125cc, tampak kecil berbanding enjin standard masa kini, tetapi susun atur pembakaran 2-lejang membolehkan Mito 125 menghamburkan kuasa lebih 30hp!
Ini ditambah pula ciri pengendalian ala perlumbaan, antaranya seperti fork depan terbalik (USD) dan kaliper brek Brembo, menjadikan sportbike tersebut mampu bersaing dengan lawan lain yang bersesaran lebih besar.
Sepanjang 20 tahun pengeluaran, spesifikasi asas Mito 125 (enjin dan frem) masih dikekalkan dengan menampilkan perubahan minimum. Berbeza aspek kosmetik, motosikal legenda itu mengharungi tiga kali evolusi rekabentuk semula yang ditampilkan menerusi varian Mk, Evolution dan SP525 seperti di bawah:
1. MK I, MK II & SP (1989-1993)
Pertama kali dilancarkan pada 1989 menerusi model Mk I (baca: Mark One) dengan gaya mirip Ducati Paso, agak berbeza berbanding rekabentuk Cagiva Mito yang dikenali umum hari ini. Karakter pengendalian digambarkan seperti tipikal motosikal perlumbaan dengan jarak kelegaan jalan 15sm dan berat kering 121kg, manakala sistem brek dibantu cakera tunggal 32sm di depan dan 23sm (belakang).
Kuasa semestinya dijana enjin 2-lejang 125cc, dan hantaran kuasa dikawal transmisi 7-kelajuan. Kuasa maksimum mampu dicapai sekitar 31-32hp! Tidak seperti sportbike moden, kapasiti tangki bahan api model awal Mito 125 cukup besar, iaitu 18 liter.
Varian seterusnya Mk II (baca: Mark Two) hanya menampilkan perubahan minor seperti fork depan USD, manakala varian SP (sport production) menaik taraf sistem pembakaran, suspensi dan penggunaan sepasang rim lebih ringan, Marchesini.
2. EVOLUTION I & II (1994-2008)
Cagiva Mito Evolution berevolusi pada 1994 dengan menyerlahkan perubahan lebih drastik, terutama pada rupa paras. Menggantikan gaya 1980-an, rekabentuk baharu kali ini diilhamkan daripada Ducati 916, bermula sosok depan hingga belakang yang sekali imbas sedikit sukar membezakan kedua-dua model tersebut.
Mungkin ada tertanya-tanya, kenapakah Cagiva seakan kerap meniru Ducati?
Ini disebabkan rekabentuk kedua-dua varian Cagiva itu, termasuk Ducati Paso dan Ducati 916 mendapat sentuhan pereka motosikal terkemuka Itali, Massimo Tamburini (1943-2014) yang pernah berkhidmat di bawah Cagiva hingga 2008.
Tamburini (gambar atas) menyertai Cagiva pada 1985, yang juga tahun sama pengeluar dari Itali itu membeli kepentingan Ducati, sekali gus meletakkan beliau sebagai pereka utama model-model Cagiva dan Ducati sepanjang perkhidmatannya.
Berbalik semula kepada Mito Evolution, tiada perubahan ketara pada spesifikasi teknikal selain penambahan berat 8kg, manakala kapasiti tangki bahan api dikecilkan kepada 14 liter. Namun, prestasi variasi Evo masih hebat dan lincah seperti dahulu dengan hamburan kuasa maksimum sekitar 33-34hp pada 12,000rpm.
Perbezaan utama Evo I dan Evo II ialah transmisi. Evo I menggunakan kotak gear 7-kelajuan seperti varian terdahulu, sebaliknya Evo II ditawarkan dalam transmisi 6-kelajuan.
Kelainan visual yang dapat dilihat pada Evo II ialah kehadiran rim Grimeca 6-jejari bagi menggantikan rim 3-jejari lama. Bagaimanapun, kelibat kedua-dua model Evo itu di atas jalan agak sukar dibezakan kerana pemilik jentera berkenaan cenderung mengacukkan alat ganti model berbeza.
3. FAUZY'S EDITION (FE)
Pada Februari 2007, Mofaz Motosikal Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Cagiva di Malaysia melancarkan versi eksklusif sempena batch terakhir Cagiva Mito Evo II versi pemasangan tempatan (CKD). Diberikan nama Momos Cagiva Mito 125 Fauzy's Edition, versi tersebut dikeluarkan 300 unit sahaja dengan harga atas jalan RM19,244.50.
Sangat sukar mencari foto edisi terhad motosikal tersebut dalam keadaan standard kerana sudah 10 tahun berlalu. Mujurlah, webBikeWorld pernah melawat pusat jualan Mofaz suatu masa lalu, dan kami dapat menggunakan foto-foto mereka sebagai rujukan.
4. SP525
Varian Cagiva Mito SP525 sudah dilancarkan sejak 2005, tetapi sebagai versi perlumbaan sahaja. Rekabentuk model tersebut turut diubah dengan mengambil inspirasi motosikal lumba Cagiva GP500-C594.
Sehingga 2008, barulah Mito SP525 dilancarkan semula sebagai versi sah atas jalan atau road-legal bagi menggantikan varian Evolution terdahulu. Masih mengekalkan rekabentuk sama seperti versi perlumbaan lalu, Mito SP525 baharu ini cuma ditambah komponen atas jalan seperti lampu depan dan cermin sisi, manakala perubahan utama ialah menampilkan Sistem Karburetor Elektronik (Electronic Carburetion System) bagi melepasi syarat piawaian ketat emisi Euro 3.
Mito SP525 pernah cuba dibawa masuk ke pasaran tempatan. Tetapi, dek tanda harga tinggi, RM22,000 dan ditambah pula rekabentuk jentera yang agak pelik (muka ikan keli?), model tersebut tidak sepopular Evo.
LEGASI
Walaupun Cagiva membuktikan enjin 2-lejang mampu dibikin menjadi lebih mesra alam menerusi teknologi moden seperti diperkenalkan SP525, piawaian emisi ketat dan fokus sumber kepada MV Agusta F3, Cagiva akhirnya dengan berat hati terpaksa menghentikan pembuatan model-model Mito baharu.
Lebih menyedihkan, tidak seperti pengeluar lain yang berupaya meneruskan legasi kegemilangan masing-masing menerusi enjin 4-lejang, sebaliknya legasi Mito ditamatkan secara rasmi pada 2012 melalui SP525 edisi terhad berwarna putih yang ditandatangani pengasas Cagiva sendiri, Giovanni Castiglioni.
Apakah warna putih ialah simbolik kepada tanda menyerah kalah? Hanya Cagiva yang tahu.
Leave a Reply