
IMPIAN menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke London memang kedengaran gila-gila tetapi realistik. Ramai overlander Asia sudah berjaya melakukannya menggunakan motosikal adventure atau touring.
Namun, perjalanan ini bukan sekadar penuh pengalaman, tetapi juga menuntut persediaan rapi, terutama dari segi laluan, border crossing dan keselamatan.
Berapa Lama Masa Diperlukan?

Untuk perjalanan yang tidak terburu-buru dan ada masa untuk urusan imigresen serta penyelenggaran:
Anggaran: 60 – 90 hari, bergantung kepada;
- Jarak perjalanan harian (200–400 km sehari)
- Cuaca & musim
- Pemeriksaan imigresen di sempadan
- Keadaan jalan, terutamanya di Asia Tengah
- Penunggang berpengalaman boleh buat dalam 45–50 hari, tetapi kebanyakan memilih tempoh lebih panjang.
Laluan Paling Selamat?

Laluan moden yang paling digunakan dan dianggap paling stabil:
- Laluan 1: Malaysia → Thailand → Laos → China → Kyrgyzstan → Uzbekistan → Kazakhstan → Russia → Latvia → Eropah → UK
Kelebihan laluan ini kerana ia paling popular sejak bertahun-tahun, infrastruktur jalan baik kecuali beberapa sektor Asia Tengah. China merupakan negara transit yang selamat serta antara laluan mudah untuk melangkah masuk ke Eropah selepas Latvia. Cuma kekurangannya adalah China memerlukan permit dan escort berdaftar yang selalunya mengenakan caj yang tinggi kepada pengembara.
- Laluan 2 (Lebih Murah Tanpa Masuk China): Malaysia → Thailand → Myanmar → India → Pakistan → Iran → Turkiye → Eropah → UK

Bagi laluan dua ini, semestinya untuk mengelak masuk ke China justeru dapat mengurangkan ribuan ringgit kos perjalanan. Tambahan lagi, laluan ini merupakan antara laluan biasa yang digunakan oleh pengembara dari Asia Tenggara. Namun, perjalanan ini juga ada cabarannya yang tersendiri, antaranya, permit perjalanan di Pakistan, India dan Iran memerlukan persediaan yang rapi sebelum melintas. Malah, beberapa kawasan Pakistan perlu ditemani oleh polis tempatan.
Dokumen Wajib untuk Perjalanan KL–London

1. Pasport Malaysia – mesti sah minimum 6 bulan
2. Carnet de Passages (CPD) – ‘passport’ untuk motosikal diperlukan di negara seperti India, Pakistan, Iran dan Turkiye. Sijil hanya dikeluarkan oleh AAM Malaysia (Automobile Association of Malaysia).
3. Visa Negara Transit
Keperluan visa berbeza ikut laluan. Contoh:
- Iran – visa diperlukan
- Pakistan – e-visa tersedia
- India – memerlukan e-visa
- Turkiye – biasanya bebas visa bagi rakyat Malaysia
- China – visa + permit + guide

4. Dokumen motosikal seperti geran asal, salinan insurans antarabangsa dan juga international driving permit (IDP) sangat disarankan kerana sesetengah penguatkuasa akan minta dokumen sedemikian semasa kita melalui sesetengah kawasan.
5. Insurans perjalanan & insurans kesihatan antarabangsa juga antara perkara yang wajib disediakan kerana risiko kecederaan dan rawatan luar negara sangat mahal.
Bila Waktu Sesuai Mulakan Perjalanan?
Jika segala dokumen dah lengkap, kini masa untuk memilih waktu serta musim terbaik untuk mulakan jelajah KL ke London. Mungkin ada yang terfikir ride musim sejuk seronok, namun, sebolehnya elakkan kerana kawasan Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan boleh mencecah suhu -10°C hingga -25°C.
Cadangan paling realistik berdasarkan cuaca dan musim adalah pada bulan April hingga Oktober kerana telah mula musim bunga disusuli musim panas dan musim luruh. Ini juga bagi memastikan kita elak keadaan salji, jalan tutup dan suhu ekstrem.

Kos Anggaran?
Bergantung kepada laluan dan cara perbelanjaan serta kadar tukaran wang asing, secara kasar perjalanan KL ke London boleh mencecah RM15,000 hingga RM35,000. Ini termasuk minyak petrol, insurans, visa, Carnet De Passages (CPD), hotel, makan dan penyelenggaran motosikal. Untuk laluan transit di China boleh melonjakkan kos ke RM40,000 – RM60,000.
Perjalanan motosikal Kuala Lumpur ke London bukan mustahil cuma menuntut perancangan laluan yang betul, dokumen lengkap, dan pemilihan musim yang tepat. Laluan melalui India–Pakistan–Iran–Turkiye kini antara pilihan paling popular dan praktikal untuk penunggang Malaysia.
Leave a Reply