
PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah daripada JDT Racing Team menutup tirai Kejuaraan IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 apabila dinobatkan juara keseluruhan kategori ASB1000 selepas meraih tempat kedua dan mata terbanyak dalam kelas tersebut.
Perlumbaan penutup berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, menyaksikan saingan sengit pencabar terdekat dari Malaysia dan Jepun.
Nakarin Dominasi Perlumbaan Akhir

Pelumba Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat, memenangi Race 2 selepas bermula dengan cemerlang dan terus menguasai kelompok depan.
Beliau diekori rapat Keito Abe (SDG Harc-Pro Honda Philippines) dan Zaqhwan Zaidi (IDEMITSU Honda Racing Malaysia), manakala Hafizh berada di belakang trio tersebut.
Seawal pusingan ketiga, Nakarin mencatat masa terpantas 1'35.911s, sebelum meningkatkan lagi kelajuan kepada 1'35.599s (pusingan keempat) dan 1'35.248s (pusingan kelima).
Prestasi konsisten itu membolehkan pelumba itu melebarkan jurang hingga 2 saat daripada kumpulan pengejar.
Aksi Sengit Hafizh, Zaqhwan dan Keito

Saingan pertengahan perlumbaan kekal sengit, yang mana Hafizh menerima tekanan berterusan daripada Zaqhwan dan Keito. Pada pusingan ke-11, Zaqhwan berjaya memintas bekas pelumba MotoGP itu untuk naik ke P2. Bagaimanapun, Hafizh bangkit semula di penghujung perlumbaan untuk merampas kembali kedudukan kedua.
Keputusan Race 2

- Nakarin Atiratphuvapat - 20'45.446s
- Hafizh Syahrin - 20'47.951s
- Zaqhwan Zaidi - 20'48.060s
Hafizh Sah Juara Keseluruhan ASB1000
Walaupun menamatkan Race 2 di tempat kedua, Hafizh tetap muncul juara keseluruhan ASB1000 dengan memungut 193 mata.
Kedudukan Keseluruhan ASB1000 2025
- Hafizh Syahrin - 193 mata
- Nakarin Atiratphuvapat - 190 mata
- Keito Abe - 170 mata
Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian besar buat pelumba negara, sekali gus memberi suntikan semangat buat Hafizh menjelang musim baharu nanti.











Leave a Reply