
JENAMA KIA kembali ke Malaysia secara rasmi melalui penyertaan langsung Kia Corporation, dengan operasi tempatan dikendalikan sepenuhnya Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM).
Langkah itu menandakan permulaan baharu buat Kia selepas bertahun-tahun beroperasi di bawah wakil pengedar. Kini, KSM bersedia membina pengalaman pelanggan lebih kukuh, konsisten dan setara standard global Kia.
Kenapa Pilih Kia?
Presiden dan CEO Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim tampil menjelaskan komitmen utama jenama itu;
Di peringkat global, Kia ialah pengeluar automotif ke-9 terbesar dunia. Fokus kami adalah bergerak ke depan secara mampan untuk jangka panjang.
"Matlamat kami bukan sekadar menjadi jenama terpantas berkembang, tetapi jenama yang memberi perhatian kepada pelanggan, pengedar dan industri automotif Malaysia."
Malaysia: Hab Penting Rantau APAC
Pengarah Urusan KSM, Emily Lek berkata, Malaysia kini memainkan peranan lebih strategik dalam rangka kerja Kia;
Ini masa penting untuk kami memulakan langkah kembali ke pasaran Malaysia sebagai entiti tersendiri.
"Jenama ini kini tidak lagi diwakili pengedar, tetapi diterajui syarikat induk yang mengawal sepenuhnya suara, nilai dan wawasan kami."
Malaysia menjadi lokasi ibu pejabat Kia Asia Pacific (Kia APAC), yang memantau enam subsidiari, termasuk KSM dan unit pengeluaran Kia Malaysia. Kia APAC mengurus operasi di 33 pasaran, merangkumi Asean, Australia dan New Zealand, dengan pegangan pasaran 3.4 peratus dan lebih 165,000 unit jualan sepanjang 2024.
Dengan lebih 100 kakitangan, Kia APAC turut mencipta peluang pekerjaan dan memanfaatkan bakat tempatan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat operasi penting.
Struktur Baharu KSM

Bermula 1 Januari 2026, KSM akan mengurus sepenuhnya hal berkaitan:
- Pemasaran
- Jualan
- Pengalaman pemilikan
- Latihan rangkaian
- Identiti jenama seluruh Malaysia
Organisasi Jualan Negara turut diperkenalkan, yang diketuai pasukan pengurusan dengan kolektif pengalaman lebih 100 tahun:
- Hyung Ho Kim - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
- Emily Lek - Pengarah Urusan
- Hafiz Zaim - Pengarah Produk dan Perhubungan Kerajaan
- Victor Chan - Pengurus Besar Jualan
- Rafhan Saiah - Pengurus Besar Pemilikan
- Vince Yeoh - Pengurus Besar Pemasaran
- Phang Chee Wei - Pengurus Besar Saluran
Tiga Tunggak Utama Kebangkitan Semula Kia
- Piawaian Operasi Global: KSM akan melaksanakan standard global lebih ketat bagi memastikan kesinambungan kualiti pengalaman pelanggan dari awal hingga akhir
- Pembinaan Semula Rangkaian Pengedar: Pendekatan menyeluruh akan digunakan untuk memastikan setiap titik sentuh pelanggan memberi pengalaman Kia sebenar - konsisten, moden dan menyakinkan
- Pengukuhan Barisan Produk: KSM akan memilih model yang benar-benar sesuai untuk pasaran Malaysia, menyeimbang permintaan, teknologi dan keperluan pengguna tempatan
'Movement That Inspires' - Jiwa Baharu Kia
Kia mahu menyampaikan pengalaman menyeluruh yang mencetus inspirasi, bukan hanya pada kenderaan, tetapi setiap interaksi jenama. 'Movement' membawa makna kemajuan dan perubahan, manakala 'Inspiration' mencerminkan aspirasi Kia sebagai pemangkin kreativiti dan perkembangan hidup pengguna.
Barisan Model Kia untuk Malaysia
i. Kia Sportage 2025 (NQ5)
Kenderaan utiliti sukan (SUV) generasi kelima ini hadir dalam empat varian:
- 2.0L
- 2.0L High
- 1.6T High
- 1.6T High AWD
Varian 2.0L menggunakan enjin 2.0L Smartstream berkuasa 154hp dan tork 192Nm dengan transmisi automatik 6-kelajuan. Varian 1.6T pula menggunakan enjin turbo Gamma II 1.6L berkuasa 177hp dan tork 265Nm yang dipadankan transmisi dual-klac (DCT) 7 kelajuan.
ii. Kia Carnival (KA4)
Kenderaan pelbagai guna (MPV) kegemaran ramai ini ditawarkan dalam konfigurasi 7-, 8-, dan 11-kerusi. Dikuasakan enjin turbodiesel 2.2L Smartstream berkuasa 199hp, dan tork 440Nm dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
iii. Kia EV9 GT Line
Ini ialah model kenderaan elektrik (EV) utama Kia untuk Malaysia dengan konfigurasi 6- atau 7-kerusi. EV ini dikuasakan sistem dual-motor pacuan semua roda (AWD) berkuasa 380hp, dan tork 700Nm.
Kapasiti bateri 99.8kWj, manakala jarak pemanduan hingga 505km. Pengecasan pantas (DC) hingga 350kW
Masa Depan Kia di Malaysia
Kim berkata, masa depan Kia sangat meyakinkan di Malaysia;
Kami mahu bergerak dengan kadar yang mampan. Dengan pasukan pakar industri, kami yakin dapat merealisasi matlamat dan merancakkan pasaran Malaysia."
Maklumat Servis, Sokongan Pelanggan
Sebarang pertanyaan jualan, servis atau bantuan tepi jalan 24 jam, boleh hubungi:
- Hotline: 1300-88-0133
- E-mel: [email protected]






























Leave a Reply