
HASRAT ribuan pengguna dari Klang ke Kuala Lumpur untuk menikmati perkhidmatan LRT Shah Alam (LRT3) nampaknya sekali lagi terpaksa ditangguhkan.
Laluan yang sebelum ini disasarkan beroperasi tahun ini kini dijangka mula beroperasi paling awal suku kedua 2026, susulan isu kritikal pada fasa akhir projek membabitkan proses pengujian dan pentauliahan sistem.
Menurut sumber industri, kelewatan ini berpunca daripada pelaksanaan ujian “fault-free run” seperti diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, iaitu peringkat paling mencabar sebelum sesebuah sistem rel dibenarkan beroperasi kepada orang awam.
Dalam tempoh itu, 22 set tren bersama sistem sokongan termasuk isyarat, komunikasi dan bekalan kuasa perlu membuktikan keupayaan beroperasi secara bersepadu dan stabil mengikut standard tren tanpa pemandu Grade of Automation 4 (GoA 4).
Bagaimanapun, difahamkan terdapat masalah prestasi apabila tren gagal mencapai dan mengekalkan kelajuan operasi ditetapkan antara 80 hingga 90 kilometer sejam.
Jika tren tidak mampu mengekalkan kelajuan ini dengan konsisten, jarak perkhidmatan enam minit tidak dapat dicapai. Ini akan menjejaskan kapasiti serta kekerapan perkhidmatan untuk pengguna,” kata sumber itu.
Tambahnya, situasi ini juga menunjukkan ketidakpatuhan kepada spesifikasi yang telah diterbitkan dalam Railway Scheme yang sebelum ini dibentangkan kepada umum.
Dokumentasi SOP Masih Belum Lengkap
Selain isu prestasi tren, proses dokumentasi terutama Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaporkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Menurut sumber, tanpa SOP yang diluluskan serta dokumentasi lengkap, proses ujian sistem tidak boleh dilaksanakan secara tersusun dan boleh dijejak (traceable) - satu keperluan asas dalam mana-mana projek rel moden yang melibatkan pemastian keselamatan, audit teknikal dan pematuhan regulatori.
Kesannya, ujian menyeluruh difahamkan terpaksa digantung bagi baki bulan ini, sekali gus mengesahkan bahawa operasi komersial LRT3 pada tahun ini adalah mustahil.
Persoalannya, sama ada tempoh tambahan beberapa bulan pada 2026 mencukupi untuk memenuhi sepenuhnya tahap amalan terbaik global bagi ujian dan pentauliahan rel,” kata sumber berkenaan.
Tarikh Operasi Beberapa Kali Ditangguh
Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan pembukaan Laluan Shah Alam bakal terlewat daripada sasaran asal 30 September, selepas Prasarana memaklumkan ujian tren perlu diteruskan sehingga 30 Oktober.
Kemudiannya, pada 17 November, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberitahu Dewan Rakyat bahawa tarikh baharu operasi disemak kepada 31 Disember, tertakluk kepada keputusan ujian yang sedang dijalankan.
Ujian Sistem Fasa Paling Kritikal
Pakar sistem rel dan bekas Ketua Bahagian Rel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Yuslizar Daud, menegaskan bahawa fasa pengujian dan pentauliahan adalah peringkat paling teknikal dalam mana-mana projek landasan.
Beliau menjelaskan semua subsistem termasuk:
- Kawalan tren
- Sistem isyarat
- Komunikasi
- Bekalan kuasa
- Sistem platform
- Mekanisme keselamatan
Ia perlu diuji sebagai satu keseluruhan yang berfungsi sepenuhnya, bukan secara berasingan.
Proses ini memerlukan perancangan teliti, pelaksanaan tepat serta dokumentasi lengkap. Ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa,” katanya.
Pengajaran Insiden Aerotrain KLIA
Sebagai perbandingan, Yuslizar merujuk kepada kes aerotrain KLIA, yang kembali beroperasi pada 1 Julai lalu tetapi kini terpaksa menghadkan operasi hanya ketika waktu puncak berikutan kerja pembaikan berterusan pada waktu tidak sibuk.
Justeru, amat penting untuk memastikan sistem LRT Shah Alam benar-benar melepasi senarai semak regulatori. Tidak seharusnya ada tekanan kepada pasukan teknikal atau pihak berkuasa untuk meluluskan operasi secara bersyarat,” tegasnya.
SUMBER: TheStar
Leave a Reply