
EDISI kelima Vios Enduro Cup dalam perlumbaan Sepang 1000KM sekali lagi tidak mengecewakan dengan aksi penuh debaran hingga ke detik terakhir apabila keputusan juara hanya diputuskan di selekoh terakhir pusingan akhir.
Pertarungan sengit berlangsung sepanjang baki jam terakhir perlumbaan 8 jam itu antara dua pasukan Kegani Racing Academy (Kenny Lee dan Loke Yin Yee) dan Axle Sports (Alister Yoong, Aman Nagdev dan Genevieve Ooi).
Kedua-dua pasukan saling berentap mendapatkan kedudukan pendahulu hingga penghujung perlumbaan.
Pitstop Tidak Dijangka Uubah Segalanya

Menjelang dua lap terakhir, Kenny Lee berada di depan, tetapi terpaksa melakukan hentian pit kecemasan, termasuk menukar pelumba. Peluang itu dimanfaatkan Axle Sports yang kembali memintas dengan jentera #61 ke depan, selepas mendominasi sebahagian besar perlumbaan.
Namun drama sebenar tercetus di selekoh terakhir apabila jentera #61 tiba-tiba terhenti (stall), sekali gus membuka ruang kepada Yin Yee memecut memintas, sekali gus merangkul kemenangan dramatik untuk Kegani Racing Academy.
Strategi Utama Kegani Racing Academy

Bagi Kenny Lee, yang sudah beraksi dalam S1K sejak 2009 dan pernah muncul juara keseluruhan pada 2010, kemenangan kali ini membuktikan kepentingan strategi dalam perlumbaan enduran.
Dalam perlumbaan enduran, apa saja boleh berlaku hingga lap terakhir. Safety car di penghujung perlumbaan mengacau perancangan kami dan saya sendiri keletihan hingga terpaksa masuk pit untuk tukar pelumba.
Tak sangka pula kereta pendahulu berhenti di Turn 15. Strategi memang menyelamatkan kami hari ini," katanya.
Cabaran Cuaca, Kelajuan dan Tempo Lumba

Menurut Kegani Racing Academy, kondisi litar lembap pada sesi kelayakan menjejaskan pelarasan keseluruhan dan membuat mereka ketinggalan hampir 3 saat berbanding pesaing terpantas.
Kami laju dalam sesi latihan, tetapi Qualifying memang mencabar. Dalam race pun, hanya bila litar betul-betul kering barulah kami dapat cari pace.
"Kereta pasukan lain sangat laju, tapi kami kekal fokus dan percaya pada strategi," kata pasukan.
Hadiah Tunai RM10,000 untuk Juara

Kemenangan tersebut menghadiahkan RM10,000 kepada Kegani Racing Academy di tempat pertama. Axle Sports (kedua) membawa pulang RM8,000, dan ketiga dimenangi duo Thailand, Surasak Dakeng dan Varunchit Wattanathakun daripada RUK Team Nexter PMC52 dengan hadiah bernilai RM6,000.
Pertembungan Tiga Generasi Toyota Vios
Edisi kali ini mencatat sejarah unik apabila ketiga-tiga generasi jentera Vios Challenge beraksi bersama dalam format enduran melangkaui tradisi Perlumbaan Pantas (Sprint Race).
Sebanyak 13 kereta dan 38 pelumba bersaing mengharungi 1,000km dalam aksi penuh adrenalin selama lapan jam. Menariknya, 10 daripada 38 pemandu datang dari siri Vios Challenge 2025, yang menunjukkan peningkatan bakat tempatan dalam ekosistem Toyota GAZOO Racing (TGR) Malaysia.
Barisan Pelumba Paling Pelbagai Setakat Ini
Tahun ini menyaksikan penyertaan antarabangsa paling pelbagai, dengan barisan pelumba dari Malaysia, India, Thailand, Jepun dan Norway. Format enduran menuntut pertukaran pelumba setiap maksimum 75 minit, menjadikan kerjasama pasukan, konsistensi dan strategi lebih kritikal berbanding perlumbaan singkat.
Leave a Reply