
LEBIH 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai, Thailand, susulan banjir besar yang melanda kawasan itu sejak 22 November lalu, dengan sebahagiannya dilaporkan tenggelam di parkir bawah tanah hotel yang dinaiki air.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, anggaran awal melibatkan sekitar 1,200 hingga 1,500 kenderaan yang tidak dapat dipindahkan akibat paras air masih tinggi.
Menurut beliau, usaha menunda kenderaan menghadapi kesukaran memandangkan trak penunda dari Malaysia tidak dibenarkan memasuki kawasan terjejas di Thailand.
Lori dari Malaysia tidak dibenarkan masuk ke lokasi. Jadi kenderaan terpaksa ditarik menggunakan trak penunda Thailand terlebih dahulu hingga ke sempadan, sebelum ditukar kepada lori dari negara kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ramai Pemilik Terpaksa Urus Sendiri, Ada Reda Tinggal Kenderaan
Beng Tat berkata, terdapat pemilik yang terpaksa menguruskan sendiri proses menunda kenderaan di Thailand kerana tidak semua polisi insurans menyediakan perlindungan di luar negara.
Malah, ada juga yang terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing selepas ia mengalami kerosakan teruk atau tidak lagi dapat diselamatkan.
23 Pasukan Sukarelawan Malaysia Turun Membantu
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 23 pasukan penyelamat sukarela dari Malaysia terlibat dalam operasi membantu memindahkan dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terjejas di Hatyai.
Ramai yang hubungi kami untuk ucap terima kasih. Semua mangsa yang kami selamatkan memaklumkan mereka sudah selamat pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beng Tat menjelaskan, proses penyelamatan berjalan dalam keadaan sulit kerana banjir di Hatyai lambat surut, berikutan kedudukan kawasan bandar itu yang rendah dan mudah menakung air.
Bot Terbalik, Mesej Palsu Menyebabkan Operasi Terganggu
Mengimbau situasi sepanjang operasi, beliau mendedahkan wujud kes penyebaran mesej palsu yang mendakwa terdapat pelancong Malaysia meninggal dunia akibat banjir, menyebabkan pasukan terpaksa meninggalkan tugasan lain untuk melakukan pencarian - namun dakwaan itu ternyata tidak benar.
Kami terpaksa pergi mencari tetapi tiada kes kematian berlaku. Sedih bila orang sebar cerita tidak betul,” katanya.
Beliau turut berkata operasi menyelamat dijalankan dalam keadaan berisiko tinggi apabila dua bot penyelamat terbalik akibat arus deras.
Kami memang mempertaruhkan nyawa untuk membantu mangsa, tetapi ada juga pihak menyalahgunakan keadaan dengan menghantar mesej palsu supaya diselamatkan terlebih dahulu,” katanya lagi.
Semua Mangsa Ditemui Selamat
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Beng Tat menegaskan bahawa semua mangsa yang ditemui berada dalam keadaan selamat dan menunjukkan semangat tinggi apabila melihat pasukan penyelamat dari Malaysia tiba memberikan bantuan.
“Mereka gembira apabila nampak orang Malaysia datang membantu, malah kagum dengan usaha pasukan penyelamat kita,” katanya.
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply