
DI SEBALIK pertembungan pengeluar Eropah dan Asia di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2025, MV Agusta tampil mengejutkan dengan konsep enjin 5-silinder baharu.
Pembangunan kejuruteraan itu giat dijalankan di bawah Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di ibu pejabat MV Agusta di Schiranna, Itali.
Takrifan Semula Prestasi, Segmen
Platform enjin 5-silinder quadrato serba baharu itu direka sebagai langkah seterusnya dalam prestasi, inovasi dan kecemerlangan kejuruteraan Itali.
Sebagai rekod, enjin 5-silinder yang terkenal sebelum ini ialah Honda RC211V apabila mendominasi kelas MotoGP 990cc.
Platform enjin baharu itu dibangunkan dengan matlamat untuk mentakrif semula jangkaan dalam pelbagai segmen motosikal, seperti: supersport, naked bike dan touring
Ini menandakan lonjakan berani ke hadapan dalam usaha berterusan MV Agusta untuk mencapai kesempurnaan rekabentuk dan fungsi.
Spesifikasi, Output Kuasa

Platform itu menampilkan sesaran modular yang membolehkan pengeluaran dihasilkan dalam versi berbeza.
- Sesaran modular 850cc - 1,150cc
- Output kuasa lebih 240hp dengan rev lebih 16,000rpm dan tork 135Nm dengan rev 8,500rpm
- Berat bawah 60kg
Walaupun mempunyai 'lebihan silinder' dan output kuasa tinggi, enjin itu mengekalkan ciri kelancaran operasi dan saiz kompak luar biasa.
Kelebihan Kejuruteraan, Rekabentuk
Trenkuasa 5-silinder itu menggabungkan keringanan, keseimbangan dan sistem elektrifikasi canggih. Bagi meningkatkan kecekapan dan daya respons, enjin itu menggunakan komponen elektrik sepenuhnya seperti pam air elektrik dan pam minyak elektrik
Susun Atur, Operasi Enjin
- Urutan letupan (firing order) 5-silinder: Membolehkan penyampaian tork dan kebolehtunggangan (rideability) yang cemerlang
- Tiada Pemasaan Injap Variabel (VVT): Mencapai kebolehgunaan pada julat rev rendah dan output kuasa maksimum tanpa memerlukan sistem VVT
- Rekabentuk tren engkol (cranktrain): Menggunakan aci engkol depan 3-silinder dan aci engkol belakang dwi-silinder dalam konfigurasi U. Susun atur itu memberikan kelancaran ketara dan mengurangkan getaran, selain menghasilkan mutu operasi dan keseimbangan dinamik cemerlang
Dimensi
Hasil rekabentuk inovatif, enjin 5-silinder MV Agusta memiliki dimensi ringkas, sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk rekabentuk prestasi tinggi yang kompak:
- Lebih langsing berbanding enjin empat sebaris (inline-four)
- Lebih pendek berbanding enjin V4
Model Terpilih?
Enjin unik pastinya untuk model istimewa. Menurut MV Agusta, enjin itu belum lagi berada dalam barisan produk ditawarkan. Bilakah masanya? Bukan masa terdekat tetapi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.










Leave a Reply