KEREN BANGET!
Inilah reaksi pertama kami apabila melihat barisan sportbike berstatus entry level dari Indonesia. Di Malaysia, enjin bersesaran 150cc setakat ini hanya spesifik kepada motosikal praktikal seperti kapcai (Y15ZR, RS150R) dan nakedbike (FZ150i).
Tetapi, di Negara Seberang sana, memang ada banyak enjin kompak 150cc yang dipadankan pada sportbike gaya perlumbaan (masih ingat kelibat Yamaha TZM 150?). Kelebihannya, sportbike jenis ini bukan saja boleh dijadikan jentera tunggangan harian, tetapi pada masa sama mampu beraksi di litar hujung minggu.
Bertuah bukan?
1. HONDA CBR150R
Memulakan senarai ialah Honda CBR150R yang dilancarkan di Indonesia, awal tahun lalu - 2016. Rekaan agresif dengan menampilkan elemen bersegi dan tajam berjaya mengaburi kelemahan utama sportbike ini sebagai jentera berkuasa paling rendah dalam kelasnya.
Menyokong pendapat CBR150R ini dijual oleh gaya, statistik jualan menunjukkan pertumbuhan hampir 100 peratus bermula awal pelancaran hingga 2017 dengan jualan sekitar 15,000 unit untuk tempoh Januari-Februari tahun ini berbanding 7,500 unit pada tempoh sama, tahun lalu.
Nah, siapa kata sportbike mesti laju sahaja? Gaya juga penting!
Harga Atas Jalan:
Rp32,975,000 - Rp33,875,000 (RM10,584 - RM10,873)
2. SUZUKI GSX-R150
Walaupun Suzuki sudah menarik diri daripada memasarkan motosikal bersesaran rendah di Malaysia, pengeluar dari Jepun itu masih giat meneruskan jualan mereka di Indonesia. Dengan nisbah kuasa per sesaran, 0.128/cc, GSX-R150 adalah antara pemilik enjin paling berkuasa dalam kelasnya.
Malah, Suzuki turut menyediakan ciri canggih seperti sistem penghidup tanpa kunci (keyless) dan penggera jawab balas (answer back) yang belum ada pada mana-mana motosikal bersesaran dan berharga sama. Jangan sangka anda (atau lebih tepat lagi, rakan jiran di Seberang) perlu bayar lebih untuk semua motor tersebut, tengok sajalah harga di bawah yang pasti buat kita ternganga!
Harga Atas Jalan:
RP27,900,000 (RM8,955)
3. YAMAHA R15
Abaikan trik promosi Yamaha yang sengaja menaikkan sesaran enjin daripada 150cc kepada 155cc, kerana sportbike baharu Yamaha ini, R15 sememangnya menawarkan ciri tambahan yang mampu membuatkan pemilik si abang, Yamaha R25 pun boleh berkecil hati.
Manakan tidak, bukan setakat enjin didatangkan dengan teknologi Aktuasi Injap Variable (VVA) yang membenarkan kuasa pada setiap tahap ligatan, tetapi imej sporty motosikal ini turut ditingkatkan dengan kehadiran fork terbalik (USD), dan bantuan klac (clutch assist) yang menjadikan operasi klac lebih ringan, serta klac gelincir (slipper clutch) yang membantu melancarkan anjakan gear dalam situasi ekstrem.
Ya, harga ditawarkan sudah semestinya lebih mahal.
Harga Atas Jalan
Rp34,500,000 - Rp35,100,000 (RM11,073 - RM11,266)
https://www.youtube.com/watch?v=1n89vYRY7is
Jika anda tertanya-tanya bagaimana pula hasilnya apabila ketiga-tiga motosikal berkenaan dibandingkan, mari tonton video di bawah. Kredit kepada laman Otomotif Indonesia.
SUMBER: Maxabout
Leave a Reply