
Toyota memperkenalkan bZ Time Attack, model konsep kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya yang dibina khas untuk SEMA 2025.
Jentera BEV ini direka secara khusus untuk litar time attack dan perlumbaan mendaki bukit (hill climb).

Direka untuk meneroka potensi prestasi teknologi BEV Toyota, bZ Time Attack dilengkapi aerodinamik dan sistem suspensi tahap perlumbaan, serta menampilkan peningkatan besar pada kuasa kuda elektriknya berbanding versi biasa.
bZ Time Attack dibangunkan dari bZ AWD Tahun Model 2026 (26MY). Model ini, dalam keadaan standard sudah pun menjana 338 kuasa kuda (hp) dan mampu memecut dari 0-96 km/j (0-60 mph) dalam hanya 4.9 saat.
Cabaran dan Fabrikasi Kejuruteraan

Walaupun Marty Schwerter, Ketua Pembina dan Pengarah operasi di Pusat Teknikal Sukan Permotoran Toyota dan pasukan Toyota Motorsports Garage telah bekerjasama dalam projek SEMA selama lebih dua dekad, bZ Time Attack ini menghadirkan beberapa cabaran unik.
Ini termasuk mengimbangi prestasi bateri dengan pengagihan berat dan mereka bentuk pakej badan lebar agresif serta aerodinamik yang sesuai untuk sukan permotoran.
Berbeza daripada binaan konvensional, mereka terpaksa memikirkan semula cara aerodinamik dan pemasangan (fitment) boleh dicapai pada platform EV, sambil membantu memberikan keselamatan dan ketahanan di bawah keadaan ekstrem.
Schwerter menambah: "Matlamatnya bukan sekadar untuk mencipta kereta untuk pameran, ia adalah untuk melihat sejauh mana platform bZ baharu boleh boleh diuji hadnya dalam suasana sukan permotoran. Itu bermakna kami terpaksa menangani dua halangan terbesar untuk mana-mana kereta lumba elektrik iaity prestasi bateri dan integrasi aerodinamik."
Penyelesaiannya dicapai melalui pendekatan fabrikasi hibrid. Toyota R&D, TRD, dan rangkaian pembekal canggih menggabungkan pengimbasan laser, pembangunan CAD dan percetakan 3D skala besar untuk merealisasikan reka bentuk yang dimahukan.

Lengkungan fender dimodelkan secara digital, dicetak pada skala penuh, kemudian disiapkan dengan tangan untuk kekuatan dan ketepatan.
Kunci kepada proses ini ialah Makmal Add Lab Toyota di Georgetown, Kentucky.
Makmal ini diketuai oleh Pengurus Kejuruteraan Kanan, Greg Stewart dan Jurutera Pembuatan Aditif, Dallas Martin, yang keupayaan prototaip pantasnya memberikan fleksibiliti kepada R&D untuk memenuhi jadual masa yang mendesak.

Hasilnya ialah sebuah BEV yang direndahkan enam inci, lebar trek bertambah enam inci dan pakej aero bersepadu sepenuhnya termasuk sayap belakang, side skirt, pemisah hadapan dan difuser belakang.
Kereta ini dipasangkan rim BBS Unlimited 19x11 inci dengan tayar Continental Extreme Contact Sport 02 XL 305/30ZR19.

Spesifikasi Teknikal Utama
- Asas Kenderaan: Platform Toyota bZ AWD 2026 (26MY AWD bZ).
- Prestasi Kuasa: Motor elektrik ditala Toyota R&D, menghasilkan lebih 300 kW (400+ hp).
- Pengurusan Kuasa: Sistem BEV dengan penentukuran ECU khas.
- Transmisi Kuasa: Pacuan Semua Roda (AWD).
- Suspensi: Sistem coilover dan spring TEIN.
- Sistem Brek: Sistem Alcon dengan pad Hawk, diadaptasi daripada program perlumbaan 86 Cup dan Corolla TC.
- Struktur Keselamatan: Rangka keselamatan chromoly FIA-spec 4130.
- Ketinggian Rendah: Direndahkan sebanyak enam inci daripada ketinggian asal.
- Lebar Trek: Penambahan lebar trek sebanyak enam inci.
- Aerodinamik Luaran: Pakej aero bersepadu sepenuhnya termasuk sayap belakang, side skirt, pemisah hadapan dan difuser belakang.
- Roda: Rim BBS Unlimited 19x11 inci.
- Tayar: Continental Extreme Contact Sport 02 XL 305/30ZR19.
- Dalaman: Tempat duduk perlumbaan OMP HTE-R dan tali keledar OMP.
- Kemasan Badan: Tiga warna khas PPG (mutiara/putih metalik, hitam metalikdan merah).
Leave a Reply