APABILA syarikat automotif Amerika, Roush Performance menampilkan Ford Focus RS 493hp ke pameran Persatuan Pasaran Barangan Istimewa (SEMA) tahun lalu, hot-hatch itu dipakaikan set rim 19-inci biru gelap yang dipadankan bersama kaliper dan strip warna sama yang menjalar sepanjang badan. Kali ini jentera sama ditampilkan dengan rim HC-1 Vossen merah menyala (juga 19-inci) yang cukup memberikan perspektif kontras.
Apapun, fokus utama bagi sebuah Focus RS pastinya bukan sekadar rim, tetapi kuasa. Jika model standard mampu menghamburkan kuasa setinggi 345hp, sebaliknya di tangan Roush, jentera ini ditala menjadi sekuat 493hp dengan menggunakan blok enjin baharu dan modifikasi ke atas unit kawalan elektronik (ECU).
Antara penambahbaikan lain dilakukan ialah memasang rotor brek baharu, menaik taraf sistem penyejukan, sistem ekzos aktif dan suspensi boleh laras 3-tahap custom yang ditala sendiri Roush. Perubahan visual pula membabitkan kerja badan custom pada spliter depan dan spoiler, manakala difuser dan ventilator bonet dipasang baharu.
Namun, tiada angka prestasi rasmi didedahkan, tetapi kereta ini pastinya mampu memecut 100kmj lebih pantas daripada 4.7 saat seperti dicatatkan model standard sedia ada.
GALERI
Leave a Reply