BERMULA 26 hingga 28 Oktober 2025, sebanyak enam lebuh raya utama dan 25 jalan sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Antara lebuh raya yang terlibat termasuk:
- Lebuhraya ELITE (KLIA - Putrajaya)
- Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang - Jalan Duta)
- Lebuhraya Guthrie (GCE)
- Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh - Jalan Duta)
- Lebuhraya MEX
- Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi - Pusat Bandar)
1,111 Petugas Trafik Dikerahkan
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik akan bertugas sepanjang acara berlangsung, termasuk mengiringi delegasi, kawalan lalulintas, dan penguatkuasaan jalan raya.
Raptai laluan konvoi juga sudah bermula sejak 21 Oktober melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya (KLIA) serta TUDM Subang ke beberapa hotel penginapan sekitar KLCC dan Seri Negara.
Bandar KL Lockdown?
Mohd Yusri turut mengesahkan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sepanjang acara tersebut berlangsung.
Antara delegasi dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump myang enyebabkan kawalan keselamatan dipertingkat secara maksimum.
Sekitar 16,000 anggota keselamatan dari seluruh negara turut digerakkan bermula 23 Oktober bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan awam.
Gunakan Pengangkutan Awam, Rancang Perjalanan Awal
Orang ramai, terutama pengguna jalan raya sekitar Lembah Klang, dinasihatkan mengelak laluan terjejas sepanjang tempoh penutupan, dan gunakan laluan alternatif atau pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel dan bas.
Kepada pengguna yang perlu melalui kawasan terbabit, termasuk petugas media, disarankan hadir lebih awal dan menunjukkan pas pengenalan diri jika diminta.
Pada masa sama, warga JSPT juga diingatkan supaya mengutamakan kesihatan, terutama dengan kes jangkitan influenza yang sedang meningkat.
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply