DALAM usaha membendung peningkatan kes kemalangan jalan raya, Kerajaan mengumumkan beberapa langkah proaktif, termasuk peruntukan besar bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur jalan seluruh negara.
Antara langkah utama, Kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk kerja selenggara Jalan Persekutuan, termasuk menurap jalan berlubang, memasang lampu jalan di kawasan berisiko tinggi, dan mengganti perabot jalan yang rosak.
Daripada jumlah itu, RM700 juta diperuntukkan khas kepada kontraktor G1 hingga G4 bagi memastikan lebih ramai pemain tempatan turut mendapat manfaat.
Selain itu, RM5.6 bilion di bawah geran MARRIS disalurkan kepada Kerajaan Negeri bagi penyelenggaraan Jalan Negeri seluruh negara, manakala RM30 juta lagi diperuntukkan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah (JD) supaya kerja pembaikan kecil dapat dilaksanakan lebih pantas, termasuk aduan awam yang disalurkan menerusi aplikasi MyJalan.
3,000 Lampu LED di Lokasi Berisiko, Insentif Had Laju
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut akan memasang 3,000 unit lampu LED baharu di lokasi tumpuan lebuh raya yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan. Langkah itu dijangka membantu meningkatkan keselamatan pemanduan, terutama waktu malam atau cuaca buruk.
Bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan had laju, Kerajaan mencadangkan kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat diberi Elaun Modal Dipercepatkan, bagi membolehkan operator menuntut perbelanjaan itu dalam tempoh setahun.
Fokus Baharu: Saringan Kesihatan Pemandu
Pada masa sama, Program Saringan Kesihatan PERKESO akan diperluas kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan bagi memastikan kesihatan pemandu sentiasa dipantau dan mengurangkan risiko kemalangan berpunca daripada faktor keletihan atau masalah kesihatan.
Langkah-langkah itu menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI yang bukan saja menambah baik infrastruktur, tetapi juga memperkukuh kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.
Leave a Reply