KEMENTERIAN Komunikasi menegaskan bahawa mana-mana syarikat tidak boleh mengarahkan pekerja mereka untuk mengisi minyak kenderaan milik syarikat menggunakan bantuan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata jika terdapat arahan sedemikian, pekerja boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
Video Tular Libatkan Syarikat Kurier

“Itu salah. Jika mana-mana pekerja diarahkan oleh syarikat untuk mengisi minyak bagi kenderaan milik syarikat menggunakan Budi95, mereka boleh buat laporan kepada KPDN atau pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular yang menunjukkan pekerja sebuah syarikat kurier mengisi minyak menggunakan bantuan Budi95 bagi kenderaan milik majikannya.
Video Tular
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta untuk menghubungi ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat kurier berkenaan memandangkan lesen operasi mereka dikeluarkan oleh MCMC.
“CEO syarikat itu mengakui mereka memang ada kad fleet (fleet card), dan pekerja berkenaan telah memadam kandungan video tersebut serta membuat permohonan maaf,” jelas Fahmi.
Kajian Bantuan Sesuai Untuk Pekerja Penghantaran
Tambah beliau, Kementerian Kewangan (MOF) bersama Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) kini sedang meneliti mekanisme bantuan yang lebih sesuai bagi pekerja sektor penghantaran, khususnya pekerja gig.
“Kita tahu ada dua kategori penghantar yang bekerja tetap, di mana syarikat menyediakan kad fleet, dan yang bekerja secara gig. Untuk kategori gig ini, MOF sedang meneliti kemungkinan mereka turut menerima kuota Budi95,” katanya.
Harga RON95 Kekal RM1.99 Seliter Bagi Penerima Budi95
Menurut kemas kini harga bahan api terkini oleh MOF, harga tidak bersubsidi RON95 kekal pada RM2.60 seliter bagi Oktober 2025. Namun, penerima sah program Budi95 yang memiliki lesen memandu Malaysia boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan kuota bulanan 300 liter.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply