BUAT pertama kali, Yamaha RX-Z TwinBoss menampilkan dua enjin pada satu motosikal. Ya, Yamaha RX-Z TwinBoss ini memiliki dua enjin dan segala hasil kerja tersebut mendapat sentuhan air tangan anak tempatan. Maksudnya, inilah Yamaha RX-Z TwinBoss ini Made In Malaysia.
Jika anda mahu lihat lebih dekat, bolehlah datang ke acara Art of Speed 2017 yang bakal berlangsung 29 dan 30 Julai ini di MAEPS, Serdang. Lebih menarik, Art of Speed 2017 bakal menghadiahkan Yamaha RX-Z TwinBoss kepada pengunjung bertuah.
Bagaimana nak menang? Mudah saja, anda hanya perlu membeli tiket berharga RM15 dan menjawab beberapa soalan mudah. Mana tahu, inilah rezeki anda.
KOS PEMBINAAN LEBIH RM40,000
Menurut pengasas dan 'orang kuat' Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar memaklumkan pembinaan Yamaha RX-Z TwinBoss itu menelan kos lebih RM40,000.
Pembinaan bermula April lalu dan kini sudah siap 95 peratus. Kami jangka Yamaha RX-Z TwinBoss dapat siap sebelum Art Of Speed 2017 bermula. Kami tahu ini kerja gila kerana belum ada sejarah di Malaysia, motosikal ada dua enjin.
"Tetapi, bagi menghargai semua peminat kustom di Malaysia, kami sanggup lakukan. Motor ini akan dijadikan hadiah cabutan bertuah kepada mereka yang hadir ke Art Of Speed. Inilah cara kita.
"Paling penting, semua pembinaan Yamaha RX-Z TwinBoss dibikin sendiri anak tempatan, Irwan Cheng dari bengkel FNG Work di Ipoh dengan kerjasama Beautiful Machines (Bandar Sunway, Selangor)," kata Asep lagi.
BACA >>> Art of Speed 2017 Kembali Mengganas Pada 29 Hingga 30 Julai 2017 Di MAEPS
ADA 2 ENJIN
Aspek mekanikal, Yamaha RXZ TwinBoss dipadankan dua unit enjin bersama kotak gear 6-kelajuan. Kedua-dua enjin bergabung tenaga menggunakan pacuan primari dan pacuan final bersama gear enjin belakang.
Bahagian casis diperbuat daripada dua keping besi dengan ketebalan 12.75mm yang bertindak sebagai penyangga enjin dan lengan ayun rigid.
Bahagian badan hanya menggunakan sekeping aluminium yang menggabungkan tangki minyak, tempat duduk dan fender belakang. Kemudian besi dipotong menggunakan jet air CNC berdasarkan pelan yang dirangka menggunakan perisian komputer Catia.
Suspensi belakang jenis rigid, manakala depan menggunakan fork. Bagi mendapatkan lebih prestasi mengagumkan, Yamaha RX-Z TwinBoss ini menggunakan ekzos kustom jenama BOSS.
BACA >>> Enjin Mana Lebih Bagus, SOHC atau DOHC? Kenali Terma, Fungsi dan Perbandingan
INI MEMANG KERJA GILA
Bagi kami, ini memang kerja gila. Bagi mereka yang mengecam Yamaha RX-Z TwinBoss dan mendakwa motor ini cuma hiasan, replika dan langsung tidak boleh bergerak, anda silap!
Enjin motosikal ini boleh hidup dan bergerak seperti biasa. Ini terbukti apabila kami dan beberapa rakan media lain diberi peluang menjadi antara penonton terawal melihat enjin Yamaha RX-Z TwinBoss ini dihidupkan.
Jika anda mahu menjadi pemilik bertuah Yamaha RX-Z TwinBoss, pastikan hadir ke acara Art Of Speed 2017. Buat pihak penganjur, kami tabik anda. Kerana anda, Malaysia kini ada Yamaha RX-Z TwinBoss bernadikan dua enjin. Syabas!!!
Leave a Reply