PENGELUAR motosikal terkenal, Aprilia memperkenalkan RSV4 X-GP di Grand Prix Catalunya baru-baru ini sempena ulang tahun ke-10 kemunculan jentera RS-GP mereka dalam arena MotoGP.
Model edisi terhad hanya 30 unit ini ditujukan khusus buat penunggang litar tegar dan pengumpul motosikal eksotik, serta meneruskan legasi siri “X” Aprilia (RSV4 X, Tuono X, RSV4 X Trenta, RSV4 X ex3ma).
Rekaan Aerodinamik Inspirasi RS-GP25
Aprilia mendakwa RSV4 X-GP menawarkan 5 kali lebih daya tegak di laluan lurus dan 3 kali lebih daya ketika condong berbanding RSV4 standard. Ini hasil daripada pakej aerodinamik yang diambil terus daripada RS-GP25, sekali gus meningkatkan kestabilan, mengurangkan wheelie dan menambah cengkaman ketika membelok.
Semua panel badan diperbuat daripada gentian karbon spesifikasi MotoGP, manakala bahagian subframe belakang menggunakan struktur karbon dari PAN Compositi yang turut berfungsi sebagai elemen aero. Warna badan pula diinspirasikan terus daripada livery rasmi RS-GP25.
Prestasi Enjin V4 1099cc Capai 238hp
Di sebalik badan karbon, jentera ini dikuasakan enjin V4 65° 1099cc spesifikasi perlumbaan, menghasilkan 238hp pada 13,750rpm dan 131Nm pada 11,750rpm, dengan had putaran 14,100rpm.
Naik taraf termasuk nisbah mampatan lebih tinggi, penapis udara perlumbaan Sprint Filter, trumpet kemasukan baharu, sistem ekzos titanium SC-Project 4×2 dengan paip penyeimbang, serta klac kering STM.
Sistem elektronik dikawal oleh APX ECU Aprilia Racing sama seperti dalam jentera perlumbaan RSV4 dengan fungsi kawalan tork setiap gear, mitigasi wheelie, kawalan cengkaman, kawalan brek enjin, serta GPS terbina dalam dan data logging.
Komponen Perlumbaan Tahap Dunia
RSV4 X-GP dipadankan dengan suspensi Öhlins boleh laras sepenuhnya, brek Brembo GP4 MS dengan cakera 330mm T-Drive, rim magnesium forged Marchesini, serta tayar slick Pirelli Diablo SBK (125/70 SC-1 depan, 200/65 SC-X belakang).
Turut dilengkapi pelbagai komponen perlumbaan termasuk mudguard dan pelindung rantai karbon, suis perlumbaan Jetprime, footrest Spider, penutup tangki CNC, radiator air dan minyak bersaiz besar, serta set ekzos SC-Project berkembar.
Berat kering jentera ini hanyalah 165kg, memberikan nisbah kuasa-berat yang luar biasa untuk sebuah motosikal pengeluar.
Dari RM460,000, Termasuk Akses Istimewa Aprilia Racing
Hanya 30 unit akan ditawarkan di seluruh dunia pada harga €90,000 (sekitar RM460,000 sebelum cukai dan duti import). Sebagai motosikal khusus untuk litar dan tidak sah di jalan raya, ia perlu diimport secara persendirian dan tidak disokong pengedar tempatan, pembeli perlu mengurus sendiri alat ganti dan sokongan data.
Pesanan akan dibuka September ini melalui laman factoryworks.aprilia.com. Pembeli turut ditawarkan pilihan untuk mengambil motosikal di kilang Aprilia di Noale, Itali serta mendapat sesi lawatan eksklusif Aprilia Racing.
Pakej pembelian merangkumi komputer riba dengan perisian ECU, pemanas tayar IRC, tapak motosikal titanium RCB, pelapik lantai, penutup motosikal dan sijil ketulenan digital.
Suara Pengurusan Aprilia Racing
Massimo Rivola, CEO Aprilia Racing berkata:
“Sepuluh tahun selepas kembali ke MotoGP, Aprilia Racing ingin meraikannya dengan sebuah ‘X’ yang benar-benar istimewa menyalurkan teknologi dan semangat RS-GP25 ke dalam motosikal pengeluaran. Ia dicipta untuk golongan terpilih yang benar-benar menghargai prestasi perlumbaan.”
Manakala Fabiano Sterlacchini, Pengarah Teknikal Aprilia Racing menambah:
“RSV4 X-GP bukan sekadar evolusi projek X — ia benar-benar lahir dari DNA MotoGP, dengan aerodinamik, struktur karbon dan nisbah kuasa-berat yang setanding jentera perlumbaan sebenar.”
SUMBER: Australian Motorcycle News
Leave a Reply