PELUMBA Ducati Lenovo Team, Marc Marquez menghidupkan semula misi Kejuaraan Dunia MotoGP apabila menjuarai perlumbaan penuh drama di Grand Prix (GP) San Marino, Misano dengan menewaskan pelumba Aprilia Racing Factory, Marco Bezzecchi.
Kemenangan iitu meletakkan Marquez semakin hampir untuk bergelar Juara Dunia MotoGP, dengan peluang pertama menanti di GP Jepun minggu depan.
Satu-satunya pelumba yang masih boleh menggagalkan impian itu ialah adiknya sendiri, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, menjadikan podium kali ini istimewa buat pasukan Gresini di tanah air sendiri.
Drama Awal Sebelum Perlumbaan Bermula
Sebelum lampu isyarat merah padam, rakan sepasukan Bezzecchi, Jorge Martin (Aprilia Racing Factory) berdepan masalah mekanikal dalam pusingan pemanasan yang memaksa pelumba Sepanyol itu bermula dari lorong pit dan menerima dua penalti Long Lap.
Bezzecchi mendahului awal perlumbaan dengan disusuli rapat Marquez di kedudukan kedua, Alex (ketiga) dan pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo, keempat.
Pelumba Tersingkir Awal
Beberapa pelumba tersingkir awal seperti Johann Zarco (Castrol Honda LCR) dan Joan Mir (Honda HRC Castrol) yang terjatuh di Lap 1, Ai Ogura (Aprilia Trackhouse) di Lap 3, Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) di Lap 5 dan Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) yang tersingkir selepas rantai jentera RC16 terlucut.
Juara bertahan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) turut terbabas di Lap 10 ketika berada di kedudukan ketujuh.
Pada Lap 12, kesilapan kecil Bezzecchi membuka ruang kepada Marquez memintas di Turn 8. Sejak itu, kedua-dua pelumba saling bersaing hingga penghujung perlumbaan, manakala Alex mula ketinggalan hampir 2 saat di belakang.
Pemenang GP San Marino
Marquez mencatatkan pusingan terpantas di Lap 21 dan terus menjarakkan diri sekitar 0.5 saat. Bezzecchi cuba menyerang semula di tiga lap terakhir dan mencatatkan pusingan terpantas, tetapi Marquez segera membalas dengan catatan masa lebih pantas untuk mengekalkan kelebihan.
Akhirnya, Marquez menamatkan 27 lap perlumbaan penuh debar itu dengan kelebihan 0.4 saat di depan Bezzecchi, manakala Alex menamatkan saingan di tempat ketiga, 7.7 saat di belakang.
Keputusan Penuh Top 10 Misano

4. Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
5. Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
6. Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP)
7. Luca Marini (Honda HRC Castrol)
8. Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP)
9. Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha MotoGP)
10. Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing)
Seterusnya: GP Jepun Penentu Juara
Dengan kemenangan tersebut, Marquez bakal membawa mata kelebihan mencukupi ke GP Jepun untuk merebut kejuaraan dunia pertama bersama Ducati. Adakah #93 bakal dimahkotakan sebagai juara dunia di Motegi? Sama-sama kita nantikan detiknya!
SUMBER: MotoGP
Leave a Reply