ACARA tahunan MSF Merdeka Race 2025 sekali lagi menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) dengan perlumbaan penuh aksi dari 30 Ogos hingga 1 September 2025.
Ribuan peminat sukan permotoran membanjiri litar bagi menyaksikan perlumbaan endurance yang terdiri daripada motosikal dan kereta bermula dari tujuh pusingan hingga 111 pusingan perlumbaan.
Sorotan Utama Malaysia Festival Speed
Perlumbaan enduran 111 pusingan MSF Merdeka Race 2025 dijuarai pasukan 55Twelve Racing, dipandu Mohamed Hafez dan Faidzil Alang (100) dengan catatan masa 5:15:04:906.
Rekod terpantas duo itu adalah pada pusingan kedua, 2:30:677 dengan kelajuan purata 117kmj. Pasukan itu juga satu-satunya yang berjaya menamatkan perlumbaan penuh dengan Toyota GR Yaris.
Pemenang Petak Kedua
Petak kedua dimenangi Foo Yung dan Freddie Ang menggunakan Suzuki Swift Sport. Namun hanya menamatkan 109 pusingan sahaja dengan purata kelajuan 115kmj yang masih lagi pencapaian membanggakan.
Penutup podium dimenangi Seth Gilmore dan Cooper Webster yang memandu Toyota GT86 dengan catatan masa 5:17:35.963.
American V-Twin Cup
Kategori MotoMSF American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft menyaksikan saingan jentera Harley-Davidson. Mohamad Alsyakirin Ahmad Sabri mendominasi petak pertama selepas menamatkan tujuh pusingan dalam masa 18 minit 34.376 saat, dengan purata kelajuan 125.34kmj. Lebih menarik, beliau mencatatkan masa terpantas 2:35.332 pada pusingan kedua.
Naib juara dimiliki Muhammad Naqid Mustafa dengan Harley-Davidson XL883C, manakala tempat ketiga diraih Mohammad Aizzad Ab Rashid (Harley-Davidson XL1200). Walaupun beberapa pelumba tidak menamatkan perlumbaan, sorakan penonton tetap membakar semangat pelumba di litar.
SuperBikes 33 Laps Endurance
Kategori MotoMSF SuperBikes - 33 Laps Endurance menyaksikan aksi mendebarkan apabila pasukan FGRT Project One diketuai Mohd Fahmi Abdul Wahaf dan Jeremy Yu muncul juara apabila menamatkan 33 pusingan dengan catatan masa 1 jam 27 minit 18.736 saat.
Lebih manis, Ducati Panigale V4 ditunggang merekodkan pusingan terpantas pada lap ke-8 dengan catatan masa 2:17.384. Saingan sengit hadir daripada pasukan Niezak Motogear United Oil (BMW S1000RR) yang berada di tempat kedua, manakala kedudukan ketiga dirampas pasukan FGRT Project One menerusi jentera Ducati lain.
Namun, perlumbaan turut dipenuhi drama apabila beberapa pasukan dikenakan penalti kerana melanggar peraturan teknikal, termasuk pit stop terlalu singkat dan had stint melebihi syarat.
Saga Cup, Myvi Cup 75 Endurance
Perlumbaan MSF Saga Cup dan Myvi Cup 75 Endurance menjadi tumpuan kerana menampilkan kereta rakyat Malaysia seperti Proton Saga, Iswara dan Perodua Myvi. Perlumbaan itu bermula dengan 51 kereta, tetapi hanya 38 berjaya menamatkan cabaran.
Kemenangan keseluruhan menjadi milik Tan Chaw Wei (Proton Saga) dengan masa 1 jam 20 minit 39.534 saat. Tempat kedua diraih Choo Yong Choon juga dengan Proton Saga, manakala podium ketiga menjadi milik pasangan Mohd Yuszaidi dan Afizul Azha dari pasukan AK Boss Motorsport dengan Perodua Myvi.
Menariknya, pasangan Myvi itu mencatat masa terpantas dalam kelas dengan 2:45.446 pada pusingan kedua, membuktikan kehebatan hatchback popular tersebut di litar.
MSF Merdeka Race 2025 sekali lagi membuktikan keunikan sukan permotoran tempatan dengan gabungan motosikal kuasa besar dan kereta rakyat Malaysia. Dari Harley-Davidson berkuasa, Ducati Panigale yang pantas hingga Proton Saga dan Perodua Myvi yang dekat di hati rakyat, acara itu bukan saja meraikan kepantasan tetapi juga semangat Merdeka.
Acara berkenaan terus menjadi platform terbaik kepada bakat tempatan menonjolkan kebolehan dan memberi peluang peminat permotoran merasai kehangatan perlumbaan enduran tempatan.
Leave a Reply