Di antara produk BYD yang menonjol di pasaran tempatan ialah Sealion 7. Tidak hanya sebuah model, Sealion merupakan satu siri BYD yang menghimpunkan sejumlah model termasuk rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik.
Sebagai contoh Sealion 05 DM-i mewakili SUV PHEV manakala Sealion 05 EV menggunakan nadi elektrik.
Tiada di pasaran tempatan, Seal U DM-i mencatatkan kejayaan luar biasa di pasaran United Kingdom dengan mencatatkan lebih 10,000 unit jualan dalam tempoh hanya 10 bulan sejak pelancarannya.
BYD Seal U DM-i yang menarik ini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai model terlaris BYD UK.
Bukan sahaja itu, malah SUV ini turut dinobatkan sebagai hibrid plug-in (PHEV) paling popular di negara tersebut (data SMMT/Society of Motor Manufacturers and Traders).
Kejayaan memberangsangkan ini telah menyumbang kepada pencapaian penting BYD UK, yang telah menjual lebih 30,000 unit kenderaan sejak jenama itu diperkenalkan pada tahun 2023.
Secara tidak langsung, kejayaan Seal U DM-i ini telah meletakkan asas kukuh untuk meningkatkan kesedaran pelanggan dan penghargaan terhadap jenama BYD UK.
Ciri dan Teknologi BYD Seal U DM-i
Sebagai lambang kualiti yang mendefinisikan BYD, Seal U DM-i menawarkan pelbagai pilihan menarik kepada pengguna.
Semua versi dilengkapi sistem hibrid plug-in pintar DM (Dual Mode) yang mengutamakan pemanduan elektrik yang lancar, senyap, menjimatkan kos dan cekap tenaga.
Enjin petrol hibrid 1.5 liter hanya akan beroperasi apabila bantuan kuasa tambahan diperlukan.
Gabungan sistem ini membolehkan Seal U DM-i mencapai jarak pemanduan tangki penuh sehingga kira-kira 1,125 kilometer.
Bagi memenuhi pilihan pelanggan yang berbeza, sistem ini ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 18.3 kWj dan 26.6 kWj.
Model Boost pacuan roda hadapan dan Design pacuan semua roda menggunakan unit berkapasiti 18.3 kWj, dengan julat pemanduan elektrik masing-masing sekitar 80 kilometer dan 69 kilometer.
Sementara itu, model Comfort pacuan semua roda yang dilengkapi dengan unit bateri lebih besar 26.6 kWj mampu dipandu sehingga 124 kilometer hanya dengan kuasa elektrik.
Pemilikan dan Kelengkapan
Harga Seal U DM-i berada di bawah ambang £40,000 (kira-kira RM228,422.00).
Angka itu mengecualikan pemilik daripada caj cukai kenderaan tambahan yang dikenakan ke atas kenderaan mewah di UK.
Selain daripada harga yang kompetitif, semua versi Seal U DM-i turut menawarkan ruang kargo yang luas serta spesifikasi peralatan standard BYD yang tinggi.
Leave a Reply