MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyasarkan pertumbuhan lebih agresif menerusi peluasan kemudahan pemasangan, eksport dan peningkatan kapasiti pengeluaran, bertepatan sambutan 30 tahun operasi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Roslan Roskan berkata, syarikat bermula pada 1996 dengan model kapcai ikonik Kriss 110 dan kini berkembang menghasilkan pelbagai kenderaan dua roda, skuter dan kenderaan serba rupa bumi (ATV).
Perkongsian Kawasaki Lonjak Kapasiti
Selepas Kawasaki Heavy Industries (KHI) dari Jepun meningkatkan pegangan ekuiti kepada 30 peratus pada 2019, Modenas menjadi pengedar dan pemasang tunggal motosikal Kawasaki di Malaysia dengan DRB-Hicom Bhd menguasai baki 70 peratus saham.
Kerjasama itu membolehkan Modenas menembusi pasaran baharu dan memperkukuh portfolio, termasuk lima model Modenas, tujuh model Kawasaki dan satu model Kymco dilancarkan antara Januari hingga Ogos 2025.
Peningkatan Pengeluaran, Eksport
Kilang di Gurun, Kedah kini mampu menghasilkan lebih 130,000 unit setahun (satu syif), dengan sasaran pengeluaran 100,000 unit menjelang 2026/2027, iaitu peningkatan 30 hingga 40 peratus.
Modenas mengeksport ATV ke Filipina, Thailand dan Indonesia, skuter dan kapcai ke Filipina, serta motosikal kuasa tinggi ke China dan Timur Tengah. Pasaran eksport baharu yang disasar termasuk Indonesia, Turkiye dan Greece.
Barisan Produk Lebih Luas
Selain kapcai, Modenas memperkukuh segmen skuter dengan model premium seperti Kymco DTX 250 (Mei 2025) dan AK550 (Januari 2024). Dua model ATV baharu dilancar untuk pasaran Asean, manakala model ketiga dijangka hujung tahun ini.
Pembangunan Motosikal Elektrik
Modenas kini menghasilkan dua model kenderaan elektrik (EV) dan merancang menambah tiga model tahun ini, serta lima hingga tujuh model dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kerjasama strategik seperti projek MEV-1 PRO bersama Pos Malaysia (November 2024) untuk melengkapkan misi elektrifikasi flit penghantaran menjelang 2030.
Sokong Vendor Tempatan, Latihan TVET
Sebagai komitmen kepada ekosistem perindustrian Malaysia, Modenas akan mempelawa 30 vendor perusahaan kecil dan sederahana (PKS) baharu dan bekerjasama dengan institusi TVET seperti GiatMara.
Empat pusat GiatMara kini dilantik sebagai pusat servis rasmi Modenas, termasuk model EV Pos Malaysia.
Sasaran Jangka Panjang
Jumlah perngeluaran industri (TIV) tahun lalu mencatatkan 420,000 unit dengan jenama Modenas, Kymco dan Kawasaki menyumbang 39,443 unit. Modenas menyasarkan pertumbuhan jualan dua digit setiap tahun melalui inovasi, pengembangan model dan pengukuhan eksport.
Sempena ulang tahun ke-30, kami kekal komited menghasilkan motosikal rekaan tempatan, menyokong vendor tempatan dan memperkasakan bakat tempatan," kata Roslan.
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply