OPERASI bersepadu Ops Luxury 3.0 yang dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara membongkar pelbagai kesalahan jalan raya membabitkan pemandu warga asing yang memandu kenderaan mewah.
Antara kesalahan dikesan adalah tiada cukai jalan, perlindungan insurans tamat tempoh dan paling mengejutkan, memiliki lesen memandu Malaysia palsu.
Pemeriksaan Kenderaan Mewah
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemeriksaan dijalankan sejak Khamis hingga Sabtu lalu melibatkan 12 kenderaan mewah dipandu warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati sembilan warga asing melakukan kesalahan tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans dan tiada lesen memandu sah. Kesalahan paling serius melibatkan seorang warga asing dari Asia Selatan yang memiliki lesen memandu palsu.
Siasatan Sindiket Lesen Palsu
Muhammad Kifli berkata, JPJ akan menyiasat bagaimana lesen palsu itu diperoleh dan tidak menolak kemungkinan wujud sindiket pemalsuan dokumen.
Siasatan akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi berkaitan untuk membongkar rangkaian kegiatan tersebut.
JPJ Tegas, Tiada Kompromi
JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk warga asing yang memandu kereta mewah tanpa mematuhi undang-undang jalan raya. Mereka sewenang-wenangnya mencabar peraturan negara ini," katanya.
Turut hadir sidang media ialah Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
SUMBER: HarianMetro
Leave a Reply