KEPADA peminat dunia automotif dan modifikasi. Dua kereta legenda sentuhan syarikat talaan automotif dari Jepun, Liberty Walk bakal ditayangkan eksklusif di pameran automotif Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025.
Acara permotoran itu akan berlangsung 8 hingga 10 Ogos nanti di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Menariknya, pengasas Liberty Walk, Wataru Kato turut akan hadir memeriahkan acara tersebut.
Selain bergambar dengan jentera ikonik, pengunjung juga boleh singgah ke reruai rasmi Liberty Walk untuk mendapatkan barangan eksklusif dan berpeluang bertemu Kato.
Ferrari F40 LBWK - Lagenda dengan Sentuhan Moden
Antara bintang utama acara tahun ini ialah Ferrari F40 yang diberi nafas baharu daripada Liberty Walk. Model itu diperkenalkan semula pada 2023 dan bakal mencuri perhatian ramai kerana penampilan radikal dan jauh berbeza berbanding asal.
Kereta berkenaan masih mengekalkan enjin asalnya, V8 2.9L turbo kembar yang menjana output kuasa 471hp dan tork 578Nm.
Namun, modifikasi ketara seperti kit badan lebar bolt-on, suspensi direndahkan, dan balutan badan putih dengan logo bulat merah menjadikan model itu kelihatan seperti pesawat pejuang Jepun A6M Zero.
Modifikasi Utama
- Fender lebar bolt-on
- Suspensi lebih rendah
- Difuser depan dan belakang
- Spoiler belakang besar
- Kowl depan dan skirt sisi rekaan baharu
Gabungan itu membuatkan rupa Ferrari F40 jauh lebih garang dan agresif, iaitu interpretasi moden yang mencabar kebiasaan.
Super Silhouette ER34 – Gaya Retro yang Berani
Satu lagi jentera yang bakal mencuri perhatian ialah Super Silhouette ER34, diilhamkan daripada Nissan Skyline KDR30 yang menyertai perlumbaan Super Silhouette Series pada era 1980-an.
Liberty Walk kali pertama memperkenalkan model itu di TAS Jepun pada 2020. Enjin asal digantikan L28 3.1L stroker dengan tiga karburetor Solex 50mm.
Rekabentuk luaran mencerminkan gaya perlumbaan agresif era lalu yang lengkap dengan bampar depan besar, fender berkotak lebar, bonet baharu, difuser belakang, dan spoiler belakang menonjol. Ciri tambahan yang menyempurnakan rupa agresif Nissan Skyline KDR30 ialah:
- Rim Yokohama Advan Racing GT 18x11 inci
- Ekstender hab
- Sistem suspensi udara
Harga Tiket TASKL 2025
- Dewasa (1 hari): RM48
- Kanak-Kanak (6-12 tahun): RM30
- Family Combo (2 dewasa + 2 kanak-kanak): RM120
- Pas 3 hari (dewasa): RM120
- Diskaun 50 peratus untuk pemegang kad OKU dan penjaga
- Masuk PERCUMA untuk kanak-kanak bawah 5 tahun
Pembelian tiket dan maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi www.tokyoautosalonkl.com atau ikuti saluran media sosial Tokyo Auto Salon KL di Facebook, Instagram, dan TikTok.
Leave a Reply