CASTROL memperkenalkan satu lagi produk terbaharu dalam barisan pelincir motosikal prestasi tinggi, iaitu Castrol POWER1 ULTIMATE Superbike 10W-50.
Minyak enjin sintetik penuh itu dibangunkan khas buat motosikal 4-lejang berkuasa tinggi untuk penggunaan dalam kondisi tunggangan ekstrem.
Dibangunkan berasaskan data dan pengalaman daripada perlumbaan motosikal profesional, minyak pelincir baharu tersebut menggunakan formulasi baharu dikenali sebagai formula '5-in-1 racing ester'. Produk itu ditawarkan kepada penunggang yang mahukan prestasi lebih konsisten dan perlindungan tambahan terhadap enjin.
Fokus Prestasi, Ketahanan
Castrol mendakwa formulasi berkenaan menawarkan lima manfaat utama, iaitu pecutan lebih mantap, perlindungan suhu tinggi, tunggangan lebih lancar, sistem penyejukan enjin lebih stabil, dan prestasi konsisten dalam pelbagai kondisi jalan.
Minyak enjin itu juga mampu mengekalkan kelikatan dan perlindungan walaupun dalam situasi menunggang agresif seperti ketika memecut laju, memandu jarak jauh, atau terperangkap dalam kesesakan panas di bandar.
Sasaran Pengguna
Produk baharu itu mensasarkan pengguna motosikal kategori superbike dan sportbike, terutama pemilik jentera kuasa besar seperti Yamaha R1, Honda CBR1000RR, Ducati Panigale dan model seumpamanya yang memerlukan tahap pelinciran optimum.
Bagaimanapun, penggunaan tetap tertakluk kepada kesesuaian spesifikasi minyak dengan keperluan pengeluar motosikal masing-masing.
Pelengkap Barisan POWER1
Minyak enjin itu menjadi pelengkap kepada barisan produk sedia ada Castrol POWER1 yang sudah lama berada di pasaran tempatan. Bezanya, ULTIMATE Superbike 10W-50 ini menumpukan kepada aplikasi lebih ekstrem dan mensasarkan pengguna yang mahukan kombinasi kuasa dan perlindungan maksimum.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut dikongsikan mengenai harga runcit atau ketersediaan di pasaran. Namun, difahamkan produk tersebut akan mula ditawarkan berperingkat di pengedar dan bengkel yang menjual pelincir Castrol seluruh Malaysia dalam masa terdekat.
Pelincir Canggih untuk Motosikal Canggih
Pelancaran itu membuktikan trend berterusan dalam industri pelincir motosikal yang semakin menekankan prestasi dan teknologi perlumbaan. Ini selari perkembangan motosikal moden yang semakin canggih dan menuntut tahap penjagaan enjin lebih tinggi.
Kepada penunggang yang kerap menunggang dalam kelajuan tinggi atau menghadapi kondisi tunggangan mencabar, kehadiran satu lagi pilihan minyak enjin sintetik penuh mungkin sesuatu yang patut diberi perhatian selagi sesuai dengan keperluan jentera masing-masing.
Leave a Reply