JIKA ternampak dua garisan putih tengah jalan, satu putus, satu penuh, atau dua-dua penuh, itu bukan sekadar hiasan. Itulah garisan kembar (double line) yang menandakan larangan memotong atau amaran bahaya, bergantung kombinasi garisan.
Namun, pernahkah kita bertanya, dari mana datang sistem double line itu? Negara mana yang mula gunakan dulu? Dan kenapa penting sangat sampai langgar boleh kena saman?
Asal Usul Garisan Jalan Raya

Penggunaan garisan jalan raya bermula sekitar awal abad ke-19 di negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Ketika itu, jumlah kereta semakin banyak dan keperluan mengawal trafik menjadi sangat kritikal.
Pada mulanya, hanya satu garisan tengah digunakan. Kemudian, apabila kemalangan banyak berlaku di kawasan selekoh dan bukit, barulah diperkenalkan sistem garisan berganda atau garisan kembar sebagai larangan memotong.
Dari situ, muncullah pelbagai sistem markah jalan seperti garisan tunggal, garisan putus-putus, dan double line untuk pisahkan arah trafik dan kawal pemandu supaya tak berlanggar sesama sendiri.
Antara negara terawal yang menggunakan garisan jalan ialah:
- Amerika Syarikat (sekitar 1920-an)
- Britain (sekitar 1930–50-an)
Garisan Kembar (Double Line): Apa Maksudnya?
i. Double Line Putih Berterusan
Dilarang memotong dari mana-mana arah pun! Ini zon larangan keras yang biasanya dicat di kawasan berisiko tinggi kemalangan seperti di jalan pedalaman, kampung dan bukit.
ii. Satu Garisan Berterusan, Satu Putus-Putus
Kenderaan di sebelah garisan putus-putus BOLEH potong (jika selamat), sebaliknya sebelah garisan berterusan TIDAK BOLEH.
iii. Double Line Putus-Putus
Jarang ada, tetapi jika anda melihat garisan jalan tersebut, maksudnya itu zon neutral yang biasanya digunakan di simpang atau persimpangan.
Fungsi garisan jalan itu selaras dengan standard antarabangsa seperti:
- Persatuan Jalan Raya Sedunia (PIARC)
- Persatuan Pegawai Lebuhraya dan Pengangkutan Negeri Amerika Syarikat (AASHTO)
Di Malaysia pula, sistem garisan jalan diterapkan melalui Garis Panduan Peraturan Lalu Lintas yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta diperincikan dalam Manual on Traffic Control Devices (MTC) dan akta bawah Peraturan Lalulintas Jalan 1959.
Malaysia: Ikut Piawaian Antarabangsa
Malaysia mengguna pakai sistem double line berdasarkan amalan global yang digunakan di:
- Kawasan selekoh tajam
- Jalan berbukit (naik dan turun)
- Zon sekolah atau kawasan berisiko tinggi
Salah Langgar Double Line!
Menurut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, melanggar arahan papan tanda atau markah jalan (termasuk double line) boleh dikenakan denda hingga RM500 atau penalti lebih berat jika membahayakan pengguna lain.
Dan ya, kenderaan JPJ, ambulans dan polis juga tidak boleh sesuka hati melanggar peraturan garisan jalan sedia ada kecuali dalam situasi kecemasan dengan siren dan lampu diaktifkan.
Double Line Putih vs Double Line Kuning
Ramai juga keliru mengenai double line putih dan kuning kerana fungsi kedua-dua nampak seperti sama saja. Namun sebenarnya ada perbezaan dari segi konteks penggunaan dan maksud spesifik dalam peraturan jalan raya Malaysia.
Persamaan
Jika kedua-dua double line putih atau kuning berterusan (double solid line), memang dilarang memotong. Itu prinsip asas yang sepatutnya ramai tahu.
Namun perbezaannya pula adalah seperti di bawah:
Jenis Garisan | Kegunaan Utama | Maksud |
---|---|---|
Double Line Putih | Pisahkan trafik dua hala di jalan biasa (jalan persekutuan, negeri, kampung) | Dilarang memotong, terutama di selekoh/bukit |
Double Line Kuning | Biasanya di kawasan khas seperti: | Dilarang parkir, bukan memotong lalu lintas |
Zon larangan parkir | Biasanya di bahu jalan, bukan tengah jalan | |
Laluan bas / teksi khas | Kadang-kadang untuk kawalan lorong khas |
Namun, di luar negara seperti AS, Kanada dan beberapa negara Eropah, garisan kembar kuning digunakan pada jalan dua hala (two-way roads) yang bertujuan memisahkan aliran trafik bertentangan.
Kedua-dua double line kuning itu juga bermaksud dilarang memotong dari kedua-dua arah.
Di Malaysia, garisan putih digunakan pada semua tanda jalan tengah, termasuk double line dan single line, sama ada putus-putus atau berterusan.
Double line putih berterusan bermaksud dilarang memotong, dari kedua-dua arah (rujuk kes tular kenderaan JPJ memotong double line). Garisan kuning di Malaysia lebih kepada tanda jalan statik kekal, seperti di bahu jalan atau sempadan jalan lama.
Leave a Reply