APABILA sebut Litar Antarabangsa Sepang (SIC), ramai akan terus terbayangkan perlumbaan bertaraf dunia seperti Formula Satu (F1) dan Kejuaraan Dunia MotoGP. Namun realitinya, litar kebanggaan negara itu jauh lebih daripada itu.
Dibina berserta fasiliti moden bertaraf antarabangsa, lokasi strategik dan perkhidmatan profesional, SIC ialah platform serbaguna untuk pelbagai jenis acara dari aktiviti automotif, hingga majlis korporat dan pelancaran produk.
Sebagai media automotif yang kerap hadir ke SIC untuk acara automotif dan permotoran, termasuk hari trek (track day), kami di PanduLaju boleh mengesahkan yang tempat ini memang 'kelas atas'.
Jom kita bongkar apa yang ditawarkan SIC kepada anda yang mungkin sedang mencari lokasi terbaik untuk apa saja acara.
Litar Bertaraf Dunia, Bukan Sekadar Untuk Perlumbaan
Dibuka pada 1999, SIC adalah antara litar pertama di Asia yang direka arkitek terkenal dari Jerman, Hermann Tilke dengan panjang trek 5.543km, 15 selekoh teknikal dan dua laluan lurus utama sejauh hingga 920 meter, trek ini memang sesuai untuk segala jenis acara pemanduan, bukan semata-mata perlumbaan profesional.
Tapi bukan trek saja yang padu, fasiliti teknikal juga lengkap. SIC ada:
- Laluan Pit (pit lane) dan Padok Luas, disokong sistem keselamatan terkini
- Bilik Kawalan Lumba (Race Control Room), dengan peralatan pemasaan (timing) dan telemetri
- Marshal dan Perkhidmatan Perubatan Siap Sedia, termasuk ambulans dan helipad
Anda boleh menganjurkan sesi uji jentera, demonstrasi kenderaan, atau sekadar mahu merasai sendiri selekoh Sepang yang ikonik. Ya semuanya boleh!
Hari Trek untuk Semua - Tidak Perlu Lesen Pelumba
SIC membuka peluang kepada pemilik kereta dan motosikal untuk merasai sendiri litar sebenar, melalui pelbagai program seperti:
i. Hari Trek Terbuka (Open Track Day)
Ini peluang untuk orang awam mencuba jentera masing-masing di trek Sepang tanpa tekanan persaingan. Ada sesi khusus untuk motosikal, kereta dan juga EV. Bayaran berpatutan, dan keselamatan pula terjaga.
ii. Hari Trek Persendirian (Private Track Day)
Sesuai untuk kelab kereta, syarikat atau individu yang mahu menyewa trek secara eksklusif. Anda boleh tentukan jadual, peserta dan aktiviti sendiri.
iii. Hari Trek Basikal Terbuka
Jika anda lebih sukakan aktiviti sihat, SIC juga membuka trek kepada penunggang basikal. Bayangkan berkayuh atas trek sama yang digunakan jentera MotoGP. Memang rare!
Kami di PanduLaju sendiri sudah beberapa kali menyertai sesi track day di sini yang dianjurkan banyak pengeluar automotif temnpatan dan luar negara. Pengalaman adrenalin di trek Sepang memang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi ketika melayan selekoh 9, 10 dan 11. Kena cuba baru tahu!
Fasiliti Acara dan Korporat yang Lengkap, Luas, dan Selesa
SIC bukan saja mantap atas trek, tetapi juga cemerlang dalam aspek acara. Kalau anda mahu menganjurkan majlis rasmi, seminar, pameran atau majlis pelancaran, inilah lokasi paling tepat untuk dipilih.
Antara ruang utama tersedia:
i. Paddock Club
Terdiri daripada empat dewan berhawa dingin yang boleh memuatkan 200-700 tetamu dengan dinding kaca penuh untuk tetamu menyaksikan aktiviti trek secara langsung sambil duduk selesa dalam dewan berkarpet dan berhawa dingin. Dewan ini sesuai untuk sidang media, majlis gala, resepsi perkahwinan eksklusif atau sesi pelancaran.
ii. Corporate Suite
Ruang eksklusif seluas 171 meter persegi ini dilengkapi sofa, pantri, tandas peribadi dan paparan TV. Suite ini sangat sesuai untuk mesyuarat tertutup, bilik tunggu VIP atau bilik istirahat pasukan. Berkaraoke pun boleh tau!
iii. Kawasan Beli-Belah (Mall Area) dan Pameran Terbuka
Jika menganjurkan acara besar seperti konvoi, karnival atau pameran automotif, ruang terbuka di mall area ini cukup luas untuk menempatkan reruai (booth), pentas utama dan trak makanan (food truck).
Driving Experience Centre (DEC) - untuk Latihan dan Simulasi Pemanduan
Satu lagi kemudahan unik di SIC ialah Driving Experience Centre (DEC), iaitu kawasan latihan pemanduan selamat dan kemahiran teknikal. Antara aktiviti boleh dijalankan adalah:
- Latihan brek kecemasan dan elak halangan (emergency braking & evasive maneuver)
- Ujian kelajuan rendah dan kawalan kenderaan
- Program latihan keselamatan korporat dan profesional
Inilah lokasi terbaik untuk syarikat automotif, pusat latihan pemanduan atau agensi Kerajaan menjalankan program pemanduan berhemah dan teknikal.
Aktiviti Lain Boleh Dibuat di SIC
Selain acara berkenderaan dan dewan, SIC juga menawarkan beberapa program menarik seperti:
- Circuit Tour: Lawatan jelajah ke kawasan litar, Race Control dan pit lane
- Taxi Ride: Naik kereta prestasi tinggi dengan pemandu profesional
- Go-Kart: Litar karting tersedia melalui SIC Motorsports Park
- Bus Tour dan Eduvisit: Untuk pelajar dan institusi pendidikan
Acara skala kecil pun boleh diadakan di SIC seperti majlis hari keluarga, fun run, hari sukan syarikat, atau penggambaran video.
Lokasi Strategik, Servis Taraf Dunia
Dari segi akses, SIC memang banyak kelebihan dengan lokasi terletak hanya 10 minit dari KLIA dan kira-kira 85km dari Kuala Lumpur yang mudah dicapai tetamu tempatan dan antarabangsa. Kemudahan seperti parkir luas, Wi-Fi, surau dan fasiliti mesra OKU menjadikan pengalaman semua orang lebih selesa.
Paling penting, pasukan pengurusan SIC sangat profesional dan berpengalaman yang mana anda akan dibantu A hingga Z dari perancangan, sokongan teknikal, keselamatan hingga pelaksanaan penuh acara.
SIC, Litar untuk Semua!
Jika anda kini sedang mencari tempat yang boleh memberikan impak besar kepada acara anda, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah jawapannya: Di sini anda boleh lakukan:
- Track Day
- Pelancaran produk
- Program latihan teknikal
- Acara korporat atau sukaneka syarikat
- Pameran automotif, perhimpunan atau karnival
SIC bukan sekadar tempat perlumbaan, tetapi juga pentas untuk mencipta pengalaman luar biasa dengan fasiliti mantap, servis padu dan latar ikonik.
Mahu tahu lebih lanjut atau mahu tempah tarikh?
Layari www.sepangcircuit.com, atau hubungi terus talian +603-9212 8338 atau WhatsApp +6012-755 5732 untuk mendapatkan sebut harga, slot dan idea acara yang sesuai. Jom realisasikan acara impian anda di SIC. Pasti puas hati!
Leave a Reply