CHERY memperkukuh reputasi sebagai jenama automotif berteknologi tinggi dengan melengkapkan ujian ekstrem bateri hibrid Chery Super Hybrid (CSH) di Indonesia.
Ujian itu menjadi penanda aras baharu keselamatan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di pasaran tropika seperti Malaysia, sekali gus membuktikan ketahanan bateri dalam keadaan lembapan tinggi dan cuaca mencabar.
Ujian Rendam Air Laut 53 Jam, Ketahanan Bateri Diuji Secara Langsung
Sebagai sebahagian daripada kempen Global Safety Challenge, dua unit bateri CSH direndam dalam air laut sedalam satu meter selama lebih 53 jam, mensimulasikan keadaan sebenar di kawasan banjir dan pantai.
Ujian ini disaksikan secara langsung media tempatan dan antarabangsa, sebelum bateri dipasang semula pada Chery Tiggo 8 CSH dan dipandu Naib Presiden Chery Sales Indonesia, Zeng Shuo dan Pengarah Chery Indonesia, Budi Darmawan Jantania.
Bukti Kepercayaan Struktur, Prestasi Selepas Rendaman
Ketua Jabatan Jenama Chery Indonesia, Rifkie Setiawan berkata;
Ujian ini membuktikan keupayaan sistem bateri kami menahan tekanan kakisan dan memastikan kestabilan pengecasan, penebatan haba dan integriti struktur. Ini sebahagian komitmen Chery untuk terus mendefinisi semula keselamatan dalam kenderaan elektrik dan hibrid."
Air laut yang mempunyai kepekatan garam tinggi dan kadar pengaliran lebih kuat berbanding air hujan biasa, menjadikan ujian tersebut jauh lebih mencabar berbanding piawaian kalis air biasa.
Hasil positif tersebut mengesahkan sistem bateri CSH mampu bertahan tanpa kebocoran, litar pintas atau risiko kebakaran walaupun dalam situasi paling ekstrem.
Teknologi 'Guardian Battery' yang Dipercayai Lebih Sejuta Keluarga
Chery Tiggo 8 CSH dengan bateri litium-besi-fosfat (LFP) berkapasiti 18.3kWh, disahkan kalis air dan debu IP68.
Beteri itu beroperasi pada julat suhu dari -35°C hingga 60°C, dan mampu memberikan jarak pemanduan elektrik penuh sejauh 90km.
Lebih mengagumkan, pengecasan pantas menggunakan CCS2 membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 20 minit.
Sistem perlindungan bateri turut diperkuat dengan struktur keselamatan unik dipanggil 'Chainmail Battery Safety Structure', dengan 14 titik penambat keselamatan, peningkatan kekuatan casis sebanyak 7 peratus dan mampu menahan tekanan sehingga 200kN. Lapisan penebat pula merangkumi 10 lapisan di bahagian bawah, 15 di sisi, dan 16 lapisan haba untuk perlindungan maksimum.
Ujian Direka Khas untuk Pasaran Tropika Seperti Malaysia
Cuaca tropika seperti Malaysia dan Indonesia bukan sekadar panas dan lembap, tetapi sering mengalami banjir kilat, hujan lebat dan kadar kelembapan tinggi. Inilah sebab Chery memilih Asean untuk menguji tahap sebenar ketahanan bateri hibrid jenama itu.
Dengan ujian kombinasi antara rendaman air laut dan pemanduan sebenar, Chery membuktikan produk jenama itu bukan sekadar patuh piawaian, tetapi melebihi keperluan sebenar pengguna rantau ini.
Strategi 'In Somewhere, For Somewhere' Chery membuktikan pendekatan yang menumpukan kepada keperluan tempatan yang menjadikan jenama tersebut semakin relevan dan dipercayai pengguna Malaysia.
Mexico, Afrika Selatan, dan Brazil Jadi Lokasi Berikut
Selepas Indonesia, lokasi seterusnya dalam kempen Global Safety Challenge ialah Mexico, yang mana Chery Tiggo 7 CSH akan menjalani ujian 'underbody scraping' di kawasan tanah tinggi. Ini akan menguji perlindungan pek bateri daripada hentakan dan kestabilan sistem di altitud tinggi.
Kempen tersebut akan diteruskan ke Afrika Selatan dan Brazil bagi menguji teknologi elektrifikasi Chery dalam pelbagai iklim dan permukaan jalan berbeza, sejajar usaha global Chery untuk menetapkan standard baharu dalam keselamatan kenderaan elektrik (EV).
Leave a Reply