KENDERAAN misi menyelamat bencana alam tidak semestinya canggih dan mahal, tetapi perlu mengikut keadaan. Contohnya, kenderaan pacuan empat roda (4x4) atau bot boleh menyebabkan arus air kuat yang berpotensi merosakkan kediaman tanpa struktur kukuh. Dalam situasi begitu, kenderaan kecil mungkin lebih bersesuaian.
Dunia kenderaan juga luas, kenderaan penumpang pun boleh diubah suai. Misalnya, model ikonik Renault 4 yang digemari ramai dan dikeluarkan lebih tiga dekad lalu hingga 1994, pernah dijadikan ambulans.
Renault Vision 4Rescue daripada Renault 4 E-Tech
Memanfaatkan nama ikonik itu, Renault memperkenalkan pula model elektrik Renault 4 E-Tech (foto atas) pada 2024, dan sekali lagi memanfaatkan model tersebut menjadi Renault Vision 4Rescue, iaitu kenderaan demonstrasi inovatif yang menyokong perkhidmatan kecemasan.
Renault Vision 4Rescue direka Software République sebagai inovasi perkhidmatan kecemasan dengan penyelesaian teknologi tinggi saling berhubung.
Sebagai kenderaan berfungsi penuh, Vision 4Rescue meneroka aspek rekabentuk yang dapat berkhidmat kepada komuniti dan menyokong respons perkhidmatan kecemasan lebih cekap serta terselaras.
Projek berkenaan dibina berasaskan pengetahuan lanjutan Renault mengenai keperluan perkhidmatan kecemasan yang diperoleh melalui perkongsian dengan perkhidmatan bomba di 19 negara sejak lebih 15 tahun lalu.
Inovasi Teknologi untuk Respons Lebih Baik
Renault Vision 4Rescue adalah sebahagian ekosistem berteknologi tinggi dibangunkan syarikat Software République (gabungan tujuh syarikat Perancis dengan kepakaran dalam mobiliti pintar, selamat, dan lestari), berdasarkan perkongsian dengan tiga perkhidmatan bomba.
Ia bukan sekadar model konsep biasa, sebaliknya kenderaan berfungsi penuh yang direka untuk menyokong perkhidmatan kecemasan lebih berkesan dengan mengintegrasikan hampir 20 penyelesaian saling berhubung.
Tujuan utama adalah menyeragam pelbagai teknologi digunakan perkhidmatan kecemasan, memastikan respons lebih pantas dan koordinasi lebih baik dalam situasi kritikal.
Renault Vision 4Rescue berfungsi sebagai pusat arahan mudah alih terhubung yang mampu menganalisis situasi dan menyesuaikan respons perkhidmatan kecemasan secara masa nyata.
Dilengkapi peralatan inovatif seperti dron pengawasan dan pelbagai ruang simpanan khas untuk peralatan yang sesuai untuk pelbagai misi dalam apa jua situasi.
Rekabentuk Fungsional
Renault Vision 4Rescue mentakrifkan estetika dan fungsi kenderaan kecemasan berdasarkan Renault 4 E-Tech elektrik yang dibina untuk memenuhi keperluan moden perkhidmatan bomba dengan ciri berikut:
- Menampilkan gaya badan kukuh dan profil tinggi, dengan jarak tinggi bumi dinaikkan 15mm, mirip Renault 4 Savane 4x4 Concept (foto atas).
- Dilengkapi motor elektrik kedua pada gandar belakang untuk pacuan semua roda (AWD) kekal supaya dapat beroperasi atas pelbagai jenis rupa bumi.
- Mempunyai daya tarikan unik dengan kod grafik kontras yang diilhamkan daripada dunia perkhidmatan penyelamat.
- Warna badan merah baharu Combustion Red, diilhamkan daripada warna api bergelombang, dan diserlahkan garisan kuning-hijau floresen melintang sebagai elemen kecemasan.
Penggayaan Dibuat untuk Tindakan
Setiap elemen gaya Renault Vision 4Rescue dibina untuk menyerlahkan eleman respons atau tindakan seperti:
- Bonet dan bumbung menampilkan corak chevron (V/zig-zag) warna kelabu gelap yang mencerminkan rekabentuk teknikal dan identiti operasi.
- Elemen hijau-kuning mengingatkan kod perkhidmatan kecemasan, sambil turut mengulangi rekabentuk logo pada Renault 4 E-Tech.
- Perkataan 'RESCUE' dan 'SAPEURS POMPIERS' (perkhidmatan bomba) diletakkan besar dan pepenjuru pada panel sisi, manakala nombor kecemasan 112 dan 18 kelihatan jelas di belakang. Ini menunjukkan rekabentuk bukan saja hiasan, tetapi mencerminkan misi sebenar kenderaan.
- Badan dilebarkan memberikan perlindungan berkesan daripada percikan kerikil ketika pemanduan off-road, sambil turut menonjolkan saiz kenderaan, manakala kemasan bertekstur dapat menghalang calar.
- Rona mutiara biru malam (midnight blue) menyerupai warna uniform ahli bomba, yang menampilkan gaya metalik dan mengukuhkan keupayaan off-road kereta.
- Nyalaan lampu menonjolkan gaya kukuh kenderaan, dengan lampu utama LED bulat, gril radiator segi empat tepat, dan sekeliling yang bercahaya.
- Bampar depan dan belakang mengagumkan menampilkan sisipan kuning dan merah yang kontras, bersama cangkuk tunda dan lampu tambahan, menjadikan kereta ini bersedia untuk operasi berat.
- Pelindung konvensional pada bampar depan dan belakang digantikan dengan komponen cetakan 3D dengan ciri penyerap hentakan dan corak 'PinPon', perakuan kepada bunyi siren kenderaan kecemasan di Perancis.
- Bar bumbung bersepadu membawa kapsul besar aerodinamik. Struktur itu direka untuk menempatkan dron pemerhatian bersama pelbagai peralatan dibangunkan Software République untuk memulihkan rangkaian komunikasi selepas bencana.
- Kapsul ini juga dicat Combustion Red, diserlahkan jalur cahaya LED biru.
Dalaman Direka untuk Memudahkan Tugas Ahli Bomba
Setiap perincian dalaman Vision 4Rescue diberi penekanan tinggi dan direka dengan kerjasama erat perkhidmatan bomba, dengan keselamatan sebagai keutamaan.
- Palang pintu belakang dilengkapi jalur reflektif yang menunjukkan pintu terbuka kepada mereka di luar kenderaan, ciri yang sangat berguna dalam persekitaran penglihatan rendah.
- Papan pemuka, berasaskan Renault 4 E-Tech, mempunyai beberapa ciri yang memberi isyarat dunia pemadam kebakaran.
- Di depan penumpang, palang logam digilap dengan ukiran 'Je te reçois 4 sur 4' (Mendengar anda dengan jelas) berfungsi sebagai pemegang dan sokongan walkie-talkie.
- Tempat duduk khas dengan corak PinPon dan logo perkhidmatan bomba.
- Sebahagian bahan digunakan adalah dikitar semula, termasuk busa daripada sut pemadam kebakaran yang tahan api, selaras komitmen Renault 4 E-Tech elektrik terhadap bahan kitar semula.
Pusat Arahan Bergerak yang Terhubung Sepenuhnya
- Bahagian belakang Vision 4Rescue menampilkan but terpisah.
- Pada bahagian atas, ruang asal ditambah meja gelongsor dan dua skrin bersambung ke komputer kuasa tinggi yang mengubah kenderaan menjadi pejabat bergerak.
- Ini membolehkan perkhidmatan kecemasan mengawal dron pemerhatian dan berkomunikasi dengan pihak lain di lapangan melalui antena sambungan di kotak bumbung.
- Bahagian bawah but diisi dua kotak simpanan yang direka untuk menyimpan peralatan kecemasan ahli bomba seperti topi keledar dan beg, serta peralatan elektronik seperti tablet dan walkie-talkie, yang sentiasa dicas.
- Vision 4Rescue memanfaatkan sepenuhnya rekabentuk Renault 4 E-Tech elektrik seperti lantai muatan rendah, but rata dan segi empat tepat yang memudahkan penggunaan kotak simpanan.
- Pintu belakang panjang memberikan perlindungan daripada cuaca ketika bekerja di depan pusat arahan bergerak itu.
Leave a Reply