MCLAREN Automotive dan McLaren Racing mengumumkan peluang bersejarah memiliki McLaren Le Mans Hypercar 2027 menerusi program perkongsian pelanggan Project: Endurance yang sangat eksklusif.
Kerjasama itu menawarkan peluang unik untuk merasai sensasi memandu Le Mans Hypercar dan pengalaman yang jarang dapat dialami.
Sertai Sejarah Perlumbaan McLaren
Pelanggan terpilih untuk Project: Endurance akan menjadi sebahagian sejarah perlumbaan McLaren yang gemilang. Ini termasuk kemenangan ikonik pada 24 Hours of Le Mans 1995, dua kemenangan Indy 500, dan kejayaan dalam lebih 190 Grand Prix, termasuk Monaco.
Pencapaian itu membawa kepada sembilan Kejuaraan Dunia Pengilang Formula Satu (F1) dan menjadikan McLaren satu-satunya pengeluar yang mencapai Triple Crown.
Triple Crown merujuk kepada kemenangan dalam 24 Hours of Le Mans, Indianapolis 500 dan Monaco Grand Prix. McLaren adalah satu-satunya pasukan yang memenangi ketiga-tiga perlumbaan ikonik tersebut.
Kuasa Hibrid dan Kerjasama Dallara
Seperti WEC LMDh Hypercar yang dikendalikan McLaren United AS, Project: Endurance dikuasakan trenkuasa hibrid V6 twin-turbo dalam pacuan roda belakang (RWD).
Ia dibina dengan kerjasama pembina jentera lumba terkenal, Dallara yang juga rakan eksklusif kepada NTT INDYCAR Series.
Pengalaman Pemilikan ke Tahap Tinggi
McLaren membawa pengalaman pemilikan Le Mans Hypercar ke tahap baharu. Pembeli Project: Endurance akan berada di tengah program pembangunan dan ujian sukan bermotor elit.
Pelanggan akan mempunyai akses penuh di belakang tabir ke program LMDh McLaren Racing akan datang, bertemu kru pasukan utama dan pelumba, termasuk menjadi sebahagian kisah McLaren Endurance Racing.
Selain memiliki kereta Project: Endurance, pelanggan akan menjadi pusat program pembangunan untuk McLaren Hypercar yang akan mencabar kemenangan dalam Kejuaraan Dunia Enduran FIA (WEC) 2027.
Mereka juga akan mengalami euforia 24 Hours of Le Mans pada tahun sama, sebagai sebahagian kempen McLaren untuk sekali lagi memenangi Triple Crown dalam sukan bermotor kali ini dalam satu musim.
Program Trek Eksklusif untuk Pemilik
Sebagai sebahagian pengalaman pemilikan Project: Endurance, pelanggan akan menikmati program litar pelanggan McLaren selama dua tahun yang merangkumi beberapa litar perlumbaan terbaik dunia.
Mereka akan menerima sokongan di acara litar setiap musim, mengambil bahagian secara tiba dan pandu (arrive-and-drive).
Setiap pemilik akan menerima bimbingan pemandu profesional perlumbaan, dengan kru pit individu dan jurutera perlumbaan yang menyokong sepanjang masa.
Maklumat lanjut mengenai kerjasama unik antara McLaren Automotive dan McLaren Racing itu akan dikongsi pada masa depan.
Leave a Reply