MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siw Fook mengakui sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) gagal berfungsi efektif dan akan dirombak secara menyeluruh dalam masa terdekat.
Sistem yang diperkenalkan pada 2017 itu dikatakan tidak mampu menghukum pesalah trafik secara langsung, memandangkan mata demerit hanya ditolak selepas bayaran kompaun dibuat. Jika kompaun belum dijelaskan, tiada sebarang tindakan diambil ke atas pemandu terlibat.
Saya mengakui sistem KEJARA ini gagal sebab pendekatan tidak betul. Kita akan teruskan, tapi dengan rombakan besar-besaran - Menteri Pengangkutan, AnthonyLoke Siew Fook
KEJARA akan Ditambah Baik, Penguatkuasaan Lebih Pantas dan Konsisten
Loke menegaskan mahu penguatkuasaan undang-undang jalan raya dilaksanakan tanpa kelewatan supaya pemandu yang melakukan kesalahan terus dikenakan tindakan secara konsisten dan automatik.
Apakah Sistem KEJARA?
Diperkenalkan sejak 2017 di bawah inisiatif Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), KEJARA bertujuan:
- Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
- Merekod kesalahan trafik berulang
- Menggantung atau membatalkan lesen jika terlalu banyak mata demerit dikumpul
Namun menurut statistik terkini, keberkesanan sistem itu semakin dipersoal apabila ramai pesalah trafik masih bebas walaupun melakukan kesalahan berulang kali.
Rombakan Sistem KEJARA: Apa Boleh Dijangka?
Antara perubahan dijangka adalah:
- Pemotongan mata automatik, tidak bergantung kepada bayaran kompaun.
- Penyelarasan data kesalahan dengan pangkalan JPJ dan PDRM.
- Notifikasi terus kepada pemilik lesen selepas kesalahan dilakukan.
Buat masa ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti mekanisme baharu untuk sistem KEJARA dan butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply