Dalam landskap automotif global yang semakin mencabar, Honda Motor Co Ltd mengambil pendekatan pragmatik dalam menyesuaikan strategi perniagaan mereka.
Dalam taklimat media pada 20 Mei 2025, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Honda, Toshihiro Mibe membentangkan hala tuju baharu pengeluar itu dengan menyelaraskan semula pelaburan, menyesuaikan fokus produk, dan meningkatkan penggunaan teknologi pintar bagi mengekalkan daya saing.
Perubahan Pasaran EV: Realiti Semasa, Arah Baharu
Walaupun komitmen Honda terhadap elektrifikasi jangka panjang kekal utuh, realiti semasa memaksa syarikat menilai semula pendekatan mereka. Kelembapan pasaran kenderaan elektrik (EV) global, terutama disebabkan perubahan peraturan alam sekitar dan dasar perdagangan antarabangsa yang menjejaskan sasaran jualan EV global, dan kini dijangka berada bawah paras 30 peratus menjelang 2030.
Sehubungan itu, Honda mengumumkan penyusunan semula strategi elektrifikasi, dengan penekanan baharu kepada kenderaan hibrid elektrik (HEV) sebagai solusi peralihan lebih praktikal dalam tempoh pertengahan.
HEV Jadi Pemacu Pertumbuhan Baru
Dengan permintaan semasa yang kukuh untuk kenderaan hibrid, Honda menetapkan sasaran menjual 2.2 juta unit HEV menjelang 2030. Bermula 2027, sebanyak 13 model HEV generasi baharu akan dilancarkan secara global, dan HEV bakal memainkan peranan strategik dalam pasaran utama seperti Amerika Utara, yang mana model saiz besar kekal popular.
Honda juga mensasarkan peningkatan ekonomi bahan api melebihi 10 peratus dan pengurangan kos lebih 50 peratus bagi sistem hibrid generasi baharu, berbanding model 2018.
Teknologi Pintar dan ADAS Generasi Baharu
Salah satu tonggak strategi Honda adalah teknologi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang lebih pintar dan responsif. Sistem baharu itu akan direka untuk membantu pemandu di pelbagai persekitaran, dari lebuh raya hingga bandar kompleks dengan kawalan penuh terhadap pecutan, pembrekan dan stereng sepanjang laluan.
Kerjasama strategik dengan syarikat seperti Momenta Global Limited di China dijangka memperkukuh usaha Honda dalam membangunkan ADAS yang disesuaikan untuk jalan raya tempatan.
Honda 0 Series dan Transformasi EV
Walaupun pelaburan elektrifikasi disemak semula yang dikurangkan daripada 10 trilion yen (RM300 bilion) kepada 7 trilion yen (RM210 bilion), Honda menegaskan EV kekal sebagai solusi utama jangka panjang untuk karbon neutral.
Pelancaran Honda 0 Series pada 2026 menandakan permulaan era baharu. Model itu akan menggunakan arkitektur elektrik-elektronik berpusat (Centralized E&E Architecture) dan cip AI prestasi tinggi (hingga 2,000 TOPS) untuk pengalaman kenderaan yang ditakrif perisian (Software-Defined Vehicle).
Motosikal: Bidang Dominan Honda
Bahagian motosikal terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan 20.57 juta unit terjual pada tahun fiskal FY2025, mewakili hampir 40 peratus pasaran global. Dengan jangkaan pertumbuhan pasaran global hingga 60 juta unit menjelang 2030, Honda mensasarkan 50peratus penguasaan pasaran motosikal elektrik menjelang 2031.
Pelancaran model seperti Active e: dan CUV e: di Asia dan Eropah, serta pembinaan kilang motosikal elektrik khas di India (operasi 2028), memperkukuh lagi kedudukan Honda.
Pengeluaran Fleksibel dan Rantaian Bekalan Berdaya Tahan
Honda juga menyusun semula strategi pengeluaran supaya lebih fleksibel yang mana kilang kini mampu menghasilkan model EV dan HEV serentak mengikut permintaan pasaran. Ini turut mengurangkan kebergantungan terhadap faktor luar seperti perubahan dasar Kerajaan.
Ringkasan Kewangan dan Pelaburan
Antara sasaran kewangan utama Honda adalah:
- Pulangan pelaburan modal (ROIC) 10 peratus menjelang FY2031.
- Pulangan tunai terkumpul: Lebih 12 trilion yen (RM360 bilion).
- Pengurangan kos pembangunan hibrid dan elektrifikasi.
- Peruntukan R&D untuk mobiliti dipacu perisian: 2 trilion yen (RM60 bilion).
Langkah Honda ini bukan sekadar ‘U-turn’, tetapi rasionalisai berdasarkan data dan situasi pasaran semasa. Dengan menyesuaikan semula strategi tanpa mengorbankan matlamat jangka panjang, Honda menunjukkan kematangan sebagai pemain global yang responsif dan berwawasan.
Leave a Reply