PERODUA sekali lagi mencuri tumpuan di pentas utama Malaysia Autoshow (MAS) 2025 apabila memperkenalkan model konsep terkini, Perodua eMO-III, versi ketiga dalam siri Electric Motion Online selepas eMO-II yang muncul di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, hujung tahun lalu.
Kini tampil sebagai final prototaip, model ini menjadi pentas 'latihan akhir' sebelum versi pengeluaran pertama kenderaan elektrik (EV) Perodua dilancarkan secara rasmi pada suku keempat 2025.
Dari Hatchback ke SUV Segmen-B Gaya Sporty
Berbanding eMO-II yang berbentuk hatchback 5-pintu, versi eMO-III kali ini tampil dengan rekabentuk lebih lasak ala crossover. Garis bumbung landai dan ketinggian badan ditambah memberikan imej lebih garang yang mengingatkan kita kepada Toyota C-HR. Perodua mendakwa rekabentuk tersebut bertujuan mencipta siluet sporty dengan karakter sisi menyerlah dan jarak tinggi bumi untuk gaya crossover sebenar.
Menariknya, prototaip ini dipasang rim 18 inci, yang juga terbesar pernah digunakan Perodua, termasuk menampilkan beberapa elemen premium seperti hendal pintu tersembunyi, bar LED penuh di depan dan belakang serta kemasan luaran ala Vantablack yang futuristik.
Saiz Lebih Besar, Teknologi Lebih Canggih
Walaupun tiada dimensi rasmi, Ketuan Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengklasifikasikan eMO-III sebagai small-B walaupun memiliki saiz lebih besar daripada Perodua Myvi, termasuk mendahului pesaing EV bajet seperti Geely Xingyuan (bakal dikenali sebagai Proton e.MAS 5) dan Wuling Bingo.
Model itu bakal berada dalam segmen bawah RM100,000 dengan strategi harga agresif bagi pasaran EV tempatan.
Menariknya, prototaip kali ini juga menampilkan kemasan dalaman menghampiri versi pengeluaran. Antara sorotan utama ialah papan pemuka digital penuh, konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis rotari, cermin pandang belakang digital, kamera 360º, dan sistem infotainmen dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto.
Malah, suis fizikal untuk kawalan penyaman udara turut dikekalkan yang pasti dihargai pengguna.
Penyewaan Bateri dan Jaminan Nilai Jual Semula
Perodua juga mengesahkan model eMO akan menggunakan sistem Battery-as-a-Service (BaaS), yang mana pengguna akan menyewa bateri berbanding memilikinya.
Ini menurunkan kos pembelian awal dengan bateri jenis litium-besi-fosfat (LFP) dibekalkan pengeluar bateri EV terkenal, CATL.
EV ini dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan sekitar 400–410km, manakala pecutan 0-100kmj antara 6-7 saat, dan kelajuan maksimum 165kmj.
Perodua juga sedang meneliti skim 'guaranteed future value' untuk memastikan nilai jualan semula EV tersebut tidak menjunam yang sering menjadi kerisauan pembeli EV. Pengguna juga boleh memilih untuk membeli bateri sepenuhnya, yang akan disertakan waranti lapan tahun.
Pelancaran Rasmi Suku Keempat, Dibangunkan 100% Perodua
Prapengeluaran bakal bermula September 2025, dengan pengeluaran awal sekitar 500 unit sebulan dari kilang BEV baharu Perodua di Sungai Choh. Ini juga kali pertama Perodua akan menggunakan keluli tekanan tinggi (hot press-formed steel) dalam pembinaan kereta.
Tambahan penting, platform itu adalah milik Perodua sepenuhnya, tanpa kerjasama Daihatsu.
Kesimpulan
Dengan rekabentuk moden, pendekatan sewa bateri, ciri premium dan harga dijangka bawah RM100,000, Perodua eMO EV dijangka mengubah lanskap EV mampu milik di Malaysia.
Persoalannya, adakah rakyat Malaysia bersedia menerima konsep sewa bateri dan berpindah ke era mobiliti elektrik sepenuhnya?
Apakah pandangan anda mengenai Perodua eMO EV? Adakah ini EV bajet yang dinantikan ramai?
Leave a Reply