INI ialah sejarah ringkas mengenai kereta nasional Australia, Holden dan jatuh bangun serta cabaran dihadapi pengeluar itu. Kepada mereka yang mengikuti rapat perkembangan dunia automotif, apa dialami Holden bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi sudah menjadi lumrah industri. Ada beberapa perkara yang sememangnya di luar kawalan dan tidak mampu dihalang.
Holden mengeluarkan kereta pertama pada 1948 sebagai inisiatif Kerajaan Australia untuk membangunkan industri kereta nasional sendiri. Lambang singa kemudian diangkat sebagai jenama rasmi kereta nasional Australia walaupun model 48-215 (FX) ialah adaptasi model prototaip buatan GM pada 1930-an.
BACA >>> #TahukahAnda: Rahsia Ular Telan Manusia dalam Logo Alfa Romeo dan Kaitan Perang Salib
Selain itu, terdapat juga pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk model seterusnya. Holden terkenal sebagai jenama dengan reputasi tahan lasak selain menawarkan prestasi baik dan sepadan harga.
SEJARAH HOLDEN
Model Torana diperkenalkan pada 1967, manakala Kingswood dan HK diperkenalkan pada tahun berikutnya. Versi mewah, dikenali sebagai Brougham, dibangunkan pada 1968 hingga 1971, sebelum Statesman dan Caprice dengan jarak roda lebih panjang diperkenalkan bersama HQ pada 1972, tetapi dihentikan pengeluaran pada 1985.
HOLDEN COMMODORE SEBAGAI MODEL IKONIK
Commodore diperkenalkan pada 1978 yang dibina berasaskan rekabentuk Opel dengan trenkuasa daripada Kingswood dan Torana sebelum digantikan enjin Nissan RB30 pada 1986. Commodore generasi kedua pula menggunakan enjin V6 daripada Buick, manakala Statesman dan Caprice diperkenalkan semula pada 1992.
Kilang enjin Holden terpilih sebagai salah satu lokasi pembuatan enjin global V6 baharu dan pengeluaran bermula pada 2004. Enjin tersebut menggantikan enjin V6 lama buatan Buick. Malah, kilang ini turut membina enjin untuk model lain seperti Captiva dan Rodeo generasi akhir.
Enjin pertama V8 muncul menerusi Monaro GTS pada 1968 dengan enjin Chevrolet. Enjin V8 Holden ketika itu sedang dalam pembikinan sebelum digunakan sekitar 1969-1998. Sejak 1999, Chevrolet menjadi pembekal pelbagai enjin V8 untuk dimuatkan pada model Holden dan HSV.
Enjin 6-silinder berprestasi tinggi turut dibina seperti digunakan GTR XU-1 Toranas, dan turut dilengkapi tiga versi karburetor. Model berkuasa turbo VL Commodore pula tampil dengan enjin Nissan.
HOLDEN DAN FORD BERSAING SENGIT
Persaingan hebat antara Holden dan Ford bermula dengan sejarah masing-masing di Bathurst dalam negeri New South Wales (NSW), Australia. Kedua-dua pengeluar itu memperkenalkan model V8 pada lewat 1960-an yang sesuai dengan jalan raya lurus di Mount Panorama.
Holden memperkenalkan XU-1 Toranas sejak 1970 hingga ketibaan enjin V8 LH Toranas pada 1974. Namun model itu digantikan Torana pada 1980. Pengeluaran berterusan Holden untuk model V8 sentiasa mensasarkan pasaran tempatan. Sebaliknya Ford hanya muncul menerusi Sierra edisi Eropah pada 1986 hingga 1999, manakala Falcon hanya baru saja dihasilkan dengan enjin V6 ketika itu.
1980 ialah tahun yang agak sukar bagi Holden. Pengaruh Ford Falcon (XD-XF) nyata lebih kuat berbanding Commodore (VB-VL), malah lebih moden daripada Kingswood. Falcon juga terbukti lebih popular di kalangan pengimport kereta.
Model V6 keluaran Holden kemudian semakin ketinggalan zaman dan tidak relevan jika mahu dibandingkan model-model Jepun bersaiz sama. Walaupun reaksi awal Holden menerusi Camira pada 1982 dilihat sebagai tindakan positif, tetapi tetap tidak berjaya dan hanya mampu bertahan hingga 1989.
Pada 1983, rancangan perniagaan Holden dibocorkan kepada pihak akhbar yang memperincikan keputusan menghentikan pengeluaran enjin V6 untuk digantikan dengan trenkuasa Nissan. General Motors (GM) kemudian campur tangan dan menghidupkan kembali jenama Holden dengan mengeluarkan Commodore serba baharu yang lebih besar, bersama perjanjian kejuruteraan dengan Toyota, Nissan dan Suzuki.
HOLDEN CAPTIVA
Kecenderungan pengeluaran model baharu yang lebih besar berbanding model terdahulu menyumbang kepada penurunan permintaan bagi kereta-kereta besar. Peningkatan kos bahan api turut mengubah keputusan pembelian pelanggan yang kini lebih peka dengan faktor penjimatan bahan api.
Model kereta yang lebih kecil seperti Corolla dan Mazda3 pula dihasilkan dengan semakin baik untuk setiap generasi baharu dikeluarkan. Ini termasuk model seperti Toyota RAV4 dan Honda CR-V yang semakin mendapat tempat di hati peminat sejak pertengahan 1990-an.
Bagaimanapun, reaksi Holden berhubung isu itu masih tidak cukup. Model kecil ditawarkan pengeluar itu kurang kesinambungan nama, manakala jumlah pengeluaran generasi demi generasi semakin merosot. Adventra yang dibangunkan berasaskan Commodore dipasarkan dengan enjin V8 bermula 2003 sehingga 2006, sebelum disusuli versi V6. Captiva pula dilancarkan pada 2006 dengan opsyen 5 atau 7 kerusi, dan Trax menjelma pada 2013.
Holden turut mengeksport model keluarannya, Commodore dan Caprice ke AS. Platform Zeta, yang menjadi asas Commodore untuk varian VE dan VF, juga digunakan dalam pembuatan Chevrolet Camaro generasi ke-5. Holden juga merekabentuk pelbagai kereta konsep untuk model GM lain.
DUNIA SEMAKIN MENCABAR
GM kini cuba mengurangkan kemunculan dalam pasaran pacuan tangan kanan (RHD). Opel dan Vauxhall pula dijual kepada PSA Group. Jadi, perancangan jangka masa panjang untuk model Astra dan Commodore juga agak samar. Lebih-lebih lagi, GM mengumumkan pengeluar itu akan menghentikan penjualan kereta di Afrika Selatan dan India. Jadi, antara langkah mengurangkan pengeluaran RHD secara keseluruhan, Holden sebagai permulaan akan menghentikan pengeluaran produk pengeluaran pada Oktober ini.
Walaupun GM menyatakan komitmen 100 peratus kepada Holden, masa depan jenama itu sebenarnya masih tidak pasti. Apakah jenama automotif Australia itu akan dihidupkan semula, atau dijual atau dihentikan? Seperti mana-mana pengeluar nasional yang mengalami krisis kereta tempatan, Holden juga tidak terkecuali berdepan dilema sama.
SUMBER: Practical Motoring
Leave a Reply