SATU lagi jenama kenderaan elektrik (EV), TQ Wuling diperkenalkan ke pasaran tempatan, hasil kerjasama strategik SAIC GM Wuling Automobile (SGM Wuling) dan Tan Chong Motor Holdings Group.
Jenama baharu itu akan berada di pasaran Malaysia bermula suku keempat 2025 menerusi model kompak TQ Wuling Bingo EV pada harga anggaran bawah RM100,000.
SGM Wuling memiliki pengalaman dalam pembuatan kenderaan penumpang dan komersial berasaskan trenkuasa pembakaran dalaman (ICE), elektrik dan hibrid plug-in (PHEV).
Model TQ Wuling akan dihasilkan di fasiliti pembuatan kenderaan Kumpulan Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur, dan model ditayangkan (foto ini) bukan versi pemasangan tempatan (CKD), tetapi dibawa khas dari luar negara untuk majlis pengumuman, semalam.
Perkongsian strategik itu dimeterai Kumpulan Tan Chong Motor Group yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Daniel Ho dan SGM Wuling, diwakili Presiden PT SGMW Motor Indonesia, Tang Wensheng.
Hadir sama menyaksikan majlis tandatangan itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Daniel Ho berkata;
TQ Wuling mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian dalam menyediakan penyelesaian mobiliti berkualiti yang boleh diakses seluruh rakyat Malaysia. Kerjasama kami dengan SGM Wuling adalah langkah penting dalam meluaskan kehadiran TQ Wuling di pasaran tempatan.
"Selain menyumbang kepada ekonomi negara melalui pengeluaran kenderaan secara tempatan di Malaysia, matlamat kami adalah meletakkan jenama TQ Wuling sebagai pilihan utama bagi pemandu di bandar yang mementingkan nilai terbaik."
TQ Wuling Bingo dan model masa depan TQ Wuling akan dipasang secara tempatan di fasiliti automotif milik Tan Chong Motor Group di Segambut untuk pasaran domestik sebagai permulaan dengan potensi untuk dieksport.
Leave a Reply