SUBARU Impreza bukanlah kereta penumpang popular seperti Honda Civic atau Toyota Corolla Altis di kalangan pembeli tempatan. Walaupun nama gah, tetapi hanya berlegar bagi mereka yang meminati kereta prestasi. Tetapi Subaru cerdik, dan tahu bahawa persaingan segmen C begitu kuat. Kali ini, pengeluar automobil dari Jepun itu mula memposisikan Impreza dalam bentuk baru.
Lalu terhasillah model seperti Subaru XV dan jika diukur bilangan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu atas jalan raya negara ini, model tersebut boleh dianggap berjaya meletakkan jenama Subaru setanding pesaing lain. Dalam erti kata lain, kemunculan semula yang sukses!
Bagaimanapun, di peringkat global permintaan terhadap Impreza masih kuat memandangkan Subaru dari dahulu lagi sudah memposisikan model itu sebagai kereta penumpang, dan bukan model prestasi semata-mata.
Ini boleh dilihat berdasarkan sambutan hangat Impreza baharu di Jepun daripada pemilik jenama lain yang berhijrah ke jenama tersebut. Malah, Impreza menerima tempahan di luar jangkaan.
LEBIH SELAMAT, LEGASI DIKEKALKAN
Walaupun sudah berbulan lama dilancarkan di Jepun, Subaru Impreza (2017) belum lagi dipertontonkan di Eropah hingga pada 12 September ini sempenan Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt ke-67.
Impreza (2017) dibina dengan mengekalkan keseronokan seperti model terdahulu, dan juga lebih selamat. Sedan ini juga dilengkapi teknologi EyeSight yang terdiri daripada beberapa ciri bantuan pemanduan seperti Sistem Mengelak Kemalangan Automatik. Selain itu, ciri legasi Impreza seperti enjin boxer dan sistem Pacuan Semua Roda Simetrikal (Symmetrical AWD) turut dikekalkan. Tidak dapat dibayangkan jika Impreza hadir tanpa dua teknologi tersebut.
SUBARU GLOBAL PLATFORM
Impreza (2017) dibina berasaskan Subaru Global Platform, dan mempunyai titik empar graviti (centrifugal of gravity) 5mm lebih rendah berbanding model terdahulu, sekali gus menambah baik aspek kestabilan pengendalian, pencegahan kemalangan dan respon stereng.
Lebih meyakinkan, Impreza (2017) diakui sebagai Kereta Terbaik Jepun 2016, dan mendapat skor ujian perlanggaran memberangsangkan di beberapa makmal ujian. Di Amerika Syarikat (AS), Impreza baharu disenaraikan sebagai kereta dengan kemasan dalaman terbaik dalam Wards 10 Best Interior untuk gaya dan rekabentuk dalaman serta sistem multimedia mesra pengguna.
Impreza mula diperkenalkan pada 1992. Sejak itu sebanyak 2.5 juta unit sudah terjual seluruh dunia dengan 10 peratus jualan datang dari Eropah.
Leave a Reply